MASBUH, MUWAFIQ & MUFARAQAH DALAM SOLAT

APA ITU MASBUH

Masbuh = seorang ma’mum yang masuk solat berjamaah tetapi dia tidak sempat menghabiskan bacaan al Fatihah, kerana imam telah rukuk atau imam sedang sujud atau imam sedang duduk antara 2 sujud atau imam sedang baca tahiyyat. Maka ma’mum ini dinamakan Ma’mum Masbuh.

CONTOH MASALAH Ma’mum Masbuh

1.       Jika Ma’mum Masbuh masuk solat berjamaah ketika imam sedang sujud @ duduk antara 2 sujud @ baca tahiyyat, maka setelah dia takbiratul’ihram, ma’mum berkenaan hendaklah terus ikut apa yang imam sedang lakukan. Tidak perlu kelam kabut mengejar imam. Dalam keadaan ini, ma’mum tersebut kena menambah rakaat yang tertinggal setelah imam beri salam.

2.       Jika Ma’mum Masbuh belum selesai baca al Fatihah, sedangkan imam telah rukuk, maka ma’mum tersebut kena habiskan baca al Fatihah itu, dan diikuti rukuk. Ini HARUS kerana dia belum tertinggal sehingga 3 rukun fi’li. Ma’mum boleh takhalluf  (ketinggalan atau terkebelakang) daripada imam tidak melebihi 3 rukun fi'li (perbuatan).

3.       Jika Ma’mum Masbuh baru selesai Takbiratul’ihram, tiba-tiba imam pun rukuk, maka makmum tersebut tidak perlu baca al Fatihah, dia boleh terus rukuk mengikut perbuatan imam. Dalam keadaan ini, ma’mum tersebut dikira memperolehi rakaat yang sempurna.

4.       Ma’mum Masbuh dikira mendapat rakaat yang sempurna, bilamana dia sempat rukuk, walaupun waktu itu imam sedang melakukan pergerakan untuk Iktidal. 

Sekiranya imam telah Iktidal berserta tamaninah (iktidal yang sempurna), sedangkan Ma’mum Masbuh baru hendak rukuk atau hanya sempat menyentuh tangannya ke lutut tanpa tamaninah, maka dia dikira telah tertinggal rakaat, dan perlu menambah rakaat yang tertinggal setelah imam beri salam.

5.       Jika Ma’mum Masbuh masuk berjemaah ketika imam sedang bertasyahud akhir, maka hendaklah dia takbiratul ihram dan terus duduk mengikut perbuatan imam. Dalam hal ini mereka dikira berjemaah tetapi semua bilangan rakaat dalam solat itu hendaklah diganti selepas salam imam.

APA ITU MUWAFIQ


Muwafiq = seorang ma’mum yang masuk solat berjamaah setelah imam selesai takbiratul’ihram, dan dia mempunyai kesempatan untuk baca al fatihah dalam rakaat yang pertamanya, maka ma’mum ini dikira sebagai jamaah yang sempurna dan tidak perlu menambah rakaat selepas imam memberi salam.

Ma’mum Muwafiq juga boleh berlaku JIKA dia masuk solat berjamaah pada rakaat yang ke-2 atau ke-3 atau ke-4 imam, serta sempat rukuk bersama Imam. Maka dia telah mendapat satu raka'at bersama imam. Menurut mazhab Syafi'ie, dia hendaklah sempat rukuk mengikuti imam secara tamaninah, yakni tidak terlalu gopoh-gapah.
[Rujukan: Prof Dr Abd Karim Zaidan, al-Mufassal, bab Solat]

HUKUM ORANG MUWAFIQ

1.       Hukum bagi Ma’mum Muwafiq boleh takhalluf (ketinggalan atau terkebelakang) daripada imam tidak melebihi 3 rukun fi'li (perbuatan).

Namun ada pendapat mengatakan bahawa, Ma’mum Muwafiq dimaafkan, sekiranya mereka tertinggal jarak 3 rukun yang panjang daripada imamnya, iaitu tidak termasuk rukun yang pendek.

Contoh : rukun panjang seperti rukuk dan sujud. Manakala rukun pendek seperti iktidal, duduk istirehat, duduk tasyahud awal dan duduk antara 2 sujud.

2.       Jika Ma’mum Muwafiq ada masa yang cukup untuk baca fatihah, tetapi dia termasuk dalam golongan yang bacaannya lambat secara semula jadi, maka ada ulama yang mengharuskan orang ini memotong bacaan fatihahnya dan terus rukuk sebagai mana ma’mum yang masbuh. Dan orang ini tidak dikira sebagai muqassir (cuai).

Namun, mengikut qaul yang asah (diterima) seperti yang tersebut dalam kitab al-Raudah, ma’mum itu hendaklah menghabiskan fatihahnya dan takhallufnya itu diberi keuzuran.

Harus diingat bahawa, bacaan al-Quran itu ada tiga cara iaitu Tartil (lambat), Tadwir (sederhana), dan Hadr (laju). Jadi, kalau pada rakaat pertama kita ketinggalan membaca al-fatihah, maka pada rakaat seterusnya hendaklah kita memilih bacaan yang lebih cepat supaya sempat menghabiskan al-fatihah.

3.       Masalah Takhalluf (ketinggalan atau terkebelakang) daripada imam. Terdapat beberapa pendapat, ada yang menyebut :

1.    Mesti tidak melebihi 2 rukun fi'li (perbuatan)
2.    Mesti tidak melebihi 3 rukun fi'li (perbuatan)
3.    Mesti tidak melebihi 3 rukun fi'li yang panjang

Berdasarkan pemahaman saya, semuanya betul. Perbezaan ini timbul disebabkan cara mengira rukun yang terbabit.

Contoh : Jika Ma’mum Muwafiq sedang Rukuk, Imam pula sedang Duduk Antara 2 Sujud. Perbezaan rukun antara ma’mum dan imam ialah 1. Rukuk, 2. Sujud & 3. Duduk Antara 2 Sujud.  Berdasar pendapat diatas :

1.    Dikira sebagai 2 rukun fi'li kerana permulaan kiraan bermula dari
1. Sujud , 2. Duduk Antara 2 Sujud. Rukuk tidak dikira kerana waktu itu ma’mum sedang Rukuk, justeru itu permulaan kiraan adalah dari perbuatan ma’mum untuk rukun seterusnya iaitu Sujud.

2.    Dikira sebagai 3 rukun fi'li kerana permulaan kiraan bermula dari
1. Rukuk, 2. Sujud, 3. Duduk Antara 2 Sujud. Permulaan kiraan adalah dari perbuatan yang sedang dilakukan oleh ma’mum iaitu Rukuk.

3.    Dikira sebagai 3 rukun fi'li yang panjang kerana permulaan kiraan bermula
1. Rukuk, 2. Sujud, Duduk Antara 2 Sujud (duduk Antara 2 Sujud tidak dikira kerana ianya rukun pendek) 3. Sujud ke-2. Permulaan kiraan adalah dari perbuatan yang sedang dilakukan oleh ma’mum iaitu Rukuk. Wallahu’alam.

CONTOH MASALAH MA’MUM MUWAFIQ

1.       Seorang Ma’mum Muwafiq sedang solat berjamaah, sebelum imam qiam berdiri tegak daripada sujud yang kedua, dia sudah rukuk. Maka Ma’mum Muwafiq berkenaan dikira mendapat rakaat itu walaupun pergerakannya tidak serentak dengan imam, selagi dia tidak ketinggalan 3 rukun solat yang panjang.
[dalam hal ini dia terlewat 3 rukun fi’li yang panjang iaitu rukuk, sujud, (duduk antara 2 sujud tidak dikira kerana ianya rukun pendek) & sujud kedua]

2.       Seorang Ma’mum Muwafiq sedang solat berjamaah, sebelum imam duduk Tasyahud Akhir ma’mum berkenaan sudah rukuk, hukumnya dia juga mendapat rakaat itu.

Kedua-duanya contoh di atas menunjukkan bahawa ma’mum berkenaan masih lagi berada dalam jarak 3 rukun daripada imamnya, belum lagi masuk ke rukun ke-4.

Sebagaimana contoh-contoh di atas itu bahawa rukun-rukun yang renggang atau jarak antara ma’mum dengan imam ialah 3 rukun yang dikira daripada : 1. Rukuk, 2. Sujud, 3. Sujud ke-2.

3.       Jika seorang Ma’mum Muwafiq solat berjamaah, apabila imamnya sudah berada dalam qiam ke-2 untuk membaca al Fatihah tetapi ma’mum berkenaan masih lagi berada di qiam pertama belum lagi habis bacaan fatihahnya, atau imam sudah berada di Tasyahud Akhir, sedangkan ma’mum masih lagi berada di qiam pertama dan fatihahnya belum selesai.

Maka hukum solat ma’mum sedemikian adalah batal, KECUALI dia membuat 2 pilihan dengan segera semasa imam hendak berpindah kepada rukun ke-4 iaitu :

Pilihan pertama : ma’mum berkenaan dikehendaki meninggalkan bacaan fatihahnya dan terus mengikut dan melakukan apa yang sedang dilakukan oleh imam, dan dia wajib tambah satu rakaat lagi selepas salam imam, atau

Pilihan kedua : ma’mum berkenaan dikehendaki ‘Niat Mufaraqah’ dari mengikut imam, kemudian ia hendaklah meneruskan bacaan al Fatihah dan rukun-rukun yang lain secara seorang diri sehingga selesai solatnya. Dalam hal ini dia tidak dapat pahala solat berjamaah.

Jika ma’mum berkenaan gagal membuat pilihan segera sebelum imam sampai kepada rukun ke-4 iaitu qiam ke-2 atau tasyahud akhir maka batal solat ma’mum itu dengan sampainya imam kepada rukun ke-4 sedangkan dia masih berada di rukun yang pertama; tetapi tidak mengapa jika sama-sama berpindah (selisih) iaitu ma’mum sedang berpindah kepada rukuk manakala imam sedang berpindah kepada qiam ke-2 atau berpindah kepada Tasyahud Akhir.

MASALAH-MASALAH Ma’mum Muwafiq

Ulama-ulama fekah telah menjelaskan bahawa hukum Ma’mum Muwafiq itu ada beberapa masalah. Ada antara mereka yang sepakat dan ada juga yang berlainan pendapat.

Berikut adalah kesepakatan hukum yang telah diputuskan oleh ulama muta’akhirin sepertimana yang terkandung dalam ‘Kitab Panduan Sembahyang Berjemaah’ [Kitabnya kecik, nipis tetapi isinya amat bernas] karangan Allahyarham Tuan Guru Haji Abdul Rahman, ayah kepada Allahyarham Tuan Guru Haji Loh Lubuk Tapah :

1.       Ma’mum Muwafiq yang dimaafkan oleh syarak adalah mereka yang tertinggal 3 rukun daripada imamnya. Ini dikhususkan untuk orang yang lambat bacaannya kerana tabiat kejadiannya begitu, dan bukan disebabkan was-was (teragak-agak).

Tetapi orang yang lambatkan bacaannya kerana was-was tidak dimaafkan jika mereka ketinggalan 3 rukun, melainkan dimaafkan sekiranya dia sempat habiskan bacaan fatihahnya sebelum imam turun untuk sujud.

Jika tidak sempat menghabiskan bacaannya, hendaklah dia berniat mufaraqah. Jika tidak berniat mufaraqah sebelum imam turun sujud, dan sebaik imam turun sujud, maka batal solatnya.

Ma’mum Muwafiq yang was-was dihukumkan seperti orang yang sengaja melambatkan bacaan Fatihahnya. Mereka ini tidak boleh meninggalkan bacaan al fatihah dan kena terus melakukan apa yang dibuat oleh imam. Jika tidak dia dikira seperti hukum orang yang sengaja meninggalkannya.

2.       Ma’mum Muwafiq yang syak samaada dia telah membaca Fatihah atau tidak, dan dia ketika itu belum lagi rukuk sedangkan imamnya sudah rukuk. Maka ma’mum berkenaan WAJIB membaca Fatihah dan dimaafkan ketinggalan dari imam 3 rukun panjang.

Jika ma’mum berkenaan belum selesai bacaan Fatihahnya sedangkan imam telah berpindah ke rukun ke-4 baginya, maka ma’mum berkenaan ketika itu kena segera buat pilihan samaada hendak mufaraqah atau terus mengikut imam. Jika ma’mum tidak juga membuat pilihan, sedangkan imam telah sampai kepada rukun ke-4, maka batal solat ma’mum tersebut.

3.       Ma’mum Muwafiq yang lupa membaca al fatihah sehingga imamnya rukuk tetapi ma’mum itu belum rukuk. Kemudian dia teringat bahawa dia belum lagi membaca al fatihah. Maka WAJIB ma’mum ini membaca Fatihah dan tidak boleh dia rukuk bersama imam, dan dia dimaafkan sekalipun dia ketinggalan 3 rukun panjang dari imamnya.

4.       Ma’mum Muwafiq yang syak adakah dia sudah membaca al fatihah atau belum lagi, ataupun dia teringat bahawa dia belum lagi membaca al fatihah, kemudian rukuk bersama imam. Maka hukumnya makmum tersebut tidak boleh kembali untuk membaca Fatihah, bahkan wajib dia terus mengikut imam. Nanti apabila imam selesai memberi salam, WAJIB dia menambahkan satu rakaat lagi.

5.       Ma’mum Muwafiq yang syak samaada dia sudah membaca al fatihah atau tidak semasa dia rukuk, sedangkan imamnya belum lagi rukuk. Maka WAJIB ma’mum ini bangun semula (qiam), dan membaca al Fatihah, dan dia dimaafkan sekalipun ketinggalan 3 rukun yang panjang daripada imamnya.

6.       Ma’mum Muwafiq yang tertinggal membaca al fatihah kerana sibuk membaca doa iftitah atau membaca bacaan sunat yang lain, tiba-tiba imamnya rukuk sebelum ia sempat menghabiskan bacaan al fatihah, hukumnya WAJIB dia menghabiskan bacaan al fatihahnya dan dimaafkan sekalipun dia ketinggalan 3 rukun daripada imamnya.

7.       Ma’mum Muwafiq yang sedang menunggu saktah imamnya yakni beliau memperhatikan bacaan al Fatihah imamnya untuk mendapat pahala sunat dan bercadang membaca al Fatihah apabila imam membaca surah nanti, tetapi sebaik sahaja imam selesai membaca Fatihah,

i.        imamnya terus rukuk tanpa membaca apa-apa surah. Justeru, ma’mum tidak sempat membaca Fatihah. atau

ii.       imamnya baca surah yang terlalu pendek sehingga ma’mum tidak sempat menghabiskan bacaan Fatihah.

Maka ma’mum tetap WAJIB baca al Fatihah sekalipun dia ketinggalan 3 rukun yang panjang daripada imamnya dan ianya dimaafkan.

8.       Ma’mum Muwafiq tertidur di tengah solat pada Tasyahud Awal dengan tetap punggungnya di tempat duduk, berterusan tidur, lalu ditinggal oleh imam sehingga imam turun untuk rukuk. Barulah ma’mum terjaga dari tidurnya. Masalah ini terdapat perselisihan di antara ulama :

i.        Syeikh Ibnu Hajar berkata : Ma’mum ini seperti Ma’mum Masbuh (iaitu tidak boleh ketinggalan dari imam sebanyak 3 rukun panjang. Bahkan  dia hendaklah membaca Fatihah sekadar yang dapat dan terus rukuk bersama imam. Jika ia sempat rukuk serta ada tamaninah, maka dikira dapat rakaat tersebut.

ii.       Syeikh Ramli berkata : Ma’mum tersebut seperti Ma’mum Muwafiq (iaitu dimaaf ketinggalan 3 rukun panjang dari imam)

9.       Ma’mum Muwafiq yang hanya mendengar seruan takbir imam. Apabila imam bertakbir untuk qiam, disangka imam duduk untuk Tasyahud Awal. Lalu ia duduk bertasyahud. Apabila dia mendengar imam bertakbir untuk rukuk, disangkanya bangun dari Tasyahud Awal. Selepas itu baru ma’mum sedar bahawa takbir imam tadi untuk rukuk. Dalam masalah ini ada berlaku khilaf pendapat :

i.        Syeikh Ibnu Hajar berkata : Ma’mum ini seperti Ma’mum Masbuh (iaitu tidak boleh ketinggalan dari imam sebanyak 3 rukun panjang. Bahkan dia hendaklah membaca Fatihah sekadar yang dapat dan terus rukuk bersama imam. Jika ia sempat rukuk serta ada tamaninah, maka dikira dapat rakaat tersebut.

ii.       Syeikh Ramli berkata : Ma’mum tersebut seperti Ma’mum Muwafiq (iaitu dimaaf ketinggalan 3 rukun panjang dari imam) . sama dengan di atas

10.     Ma’mum Muwafiq yang sama-sama membaca Tasyahud Awal bersama imam. Apabila imam berdiri dari Tasyahud Awal, makmum masih membaca Tasyahud Awal. Apabila makmum berdiri dari Tasyahud Awal, didapati imam sudah rukuk atau hampir hendak rukuk. Berlaku khilaf di antara Ibnu Hajar dan Ibnu Ramli:

i.              Syeikh Ibnu Hajar berkata : Ma’mum ini tidak termasuk dalam kalangan Muwafiq, kerana dikira sebagai sengaja meninggalkan bacaan Fatihah. Dia hendaklah membaca Fatihah, kemudian rukuk bersama imam berserta Tamaninah. Jika ini sempat dilakukan, maka dikira dapat rakaat tersebut.

Jika dia tidak sempat rukuk serta tamaninah, maka hendaklah dia niat mufaraqah sebelum imam turun sujud. Dan setelah mufaraqah dari imam, hendaklah ia melakukan aturan solat dengan berseorangan. Jika tidak niat mufaraqah, maka batallah solat ma’mum berkenaan.

ii.       Syeikh Ramli berkata : Ma’mum tersebut seperti Ma’mum Muwafiq (iaitu dimaaf ketinggalan 3 rukun panjang dari imam).

SOAL & JAWAB

1.       Soalan :
Seorang ma’mum menyertai solat berjemaah ketika imam telah selesai membaca al-fatihah, dan belum pun dia sempat menghabiskan fatihahnya, imam dah mula rukuk.
Jadi apakah benar ada pendapat yang mengatakan :

1.       Jika ma’mum waktu itu sempat membaca separuh daripada surah al-fatihah tersebut, maka ma’mum wajib menghabiskannya.
2.       Jika dia hanya sempat baca sedikit sahaja daripada surah al-fatihah tersebut, maka ma’mum berkenaan boleh terus rukuk bersama imam bagi mendapatkan rakaat tersebut.

Jawab:
        Ini adalah masalah khilafiah, dan huraian dalam masalah ini memang  
        banyak versinya. Dalam hal membaca al Fatihah dalam Solat 
         Berjamaah, secara keseluruhannya fuqaha' berpecah kepada 3 golongan 
        bergantung keadaan berikut :

1.            Pendapat Imam Malik & Imam Ahmad Ibnu Hanbal :

-       Ma'mum membaca Fatihah bersama imam, walaupun ketika itu imam membaca Fatihah secara sirr (perlahan) ;
-       Ma'mum tidak membaca Fatihah bersama imam ketika imam membaca Fatihah secara jahar (kuat).

2.            Pendapat Imam Hanafi :

-    Ma'mum sama sekali tidak membaca Fatihah
     semasa solat berjamaah samada secara sirr
     atau jahar (tidak baca Fatihah bila solat      berjamaah)

3.       Pegangan Mazhab Imam Syafie :

-       Ma'mum membaca Fatihah dan surah al Quran ketika imam membaca Fatihah secara sirr, (contoh solat zohor @ asar)
-       Ma’mum hanya membaca Fatihah sahaja ketika imam membaca secara jahar.

Dalam kes di atas, anda tidak sempat membaca al Fatihah hingga habis dan imam telahpun rukuk.
Jika anda masbuh  = anda tidak mendapat raka'at, tetapi 
Jika anda muwafiq = anda mendapat satu raka'at ?
Ini berdasarkan alasan berikut :

1.       Pendapat Ibnu Hazm (al Muhalla, Jld 3, ms 243),

          juga pendapat Imam Bukhari dalam Juz al Qira-ah
         dan Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya :

Tidak dipandang memperoleh raka'at apabila tidak sempat membaca fatihah sebelum Imam rukuk ketika Imam berada di raka'at yang sirr (senyap / perlahan) bacaannya.”

Mereka mempertikaikan lafaz hadis," siapa yang mendapat rukuk bersama imam, sungguhlah telah mendapat raka'at." Menurut Imam-imam tersebut, lafaz asal berbunyi," sesiapa yang mendapat raka'at, maka sungguh telah mendapat solat." Mendapat raka'at ini bermakna sempat membaca Fatihah.

2.       Pendapat Imam Ibnu Mundzir (bermazhab Syafi'e):

Tidak menyukai perbuatan setengah imam yang sengaja melambatkan rukuk bagi memberi peluang ma’mum yang lewat untuk mendapatkan raka'at.

Ibadah Solat ialah kerehatan bagi jiwa, tidak perlu dilakukan dengan tergesa-gesa. Tertib dan tamaninah perlulah dijaga. Jika tidak sempat membaca fatihah, rukuklah bersama imam maka tambahlah satu raka'at lagi.

            (Rujukan: ‘As Solah’ oleh Prof TM Hasbi As Siddiqui, Pustaka Bulan Bintang, Jakarta)

2.       Soalan :
Seseorang menyertai solat berjemaah ketika imam sedang duduk Tahiyyat Awal, apabila imam bangkit untuk rakaat ke-3, dia pun bangkit dan mula membaca surah al-fatihah untuk rakaat pertamanya. Disebabkan imam terlalu cepat membaca surah al-fatihah, dia tidak sempat menghabiskan fatihahnya, imam dah rukuk, adakah dia sepatutnya rukuk sekali dengan imam atau habiskan bacaan fatihahnya bagi mendapatkan rakaat pertama tersebut.

Jawab:
Solat berjamaah ada disiplin seperti dalam ketenteraan. Imam dan kelajuannya sepatutnya sudah diketahui oleh para ma’mum, dan para ma’mum hendaklah serasi dengan kelajuan imam.

Dalam kes di atas, menurut fuqaha' Syafi'iy dibolehkan lewat sedikit tapi jangan sampai ketinggalan dari imam melebihi 2 rukun fi'li (perbuatan) tanpa uzur. Kemudian dia haruslah ‘adjust’ dengan kelajuan imam. Kerana berdasarkan mafhum hadis,"Sesungguhnya dijadikan imam itu supaya diikuti ma’mum, oleh itu janganlah kamu menyalahinya. Jika dia bertakbir hendaklah kamu bertakbir, apabila dia rukuk hendaklah kamu ikut rukuk, dan apabila dia sujud hendaklah kamu ikut sujud.
(HR Syaikhan dari Abu Hurairah)

Rujukan: Syeikh Rahbawi, solat 'ala madzhaabil arba'ah.

3.       Soalan :
Apakah syarat agar bacaan al Fatihah kita boleh ditanggung oleh imam ?

Jawab:
Apabila imam selesai membaca fatihah dan rukuk, manakala ma’mum yang masbuh belum habis baca fatihah, maka wajib ma’mum itu memutuskan atau berhentikan bacaan fatihahnya dan terus rukuk. Namun ada beberapa syarat seperti dibawah.

Syarat untuk membolehkan ma’mum memotong bacaan fatihah dan ditanggung oleh imam adalah jangan membaca yang sunat. Iaitu jangan membaca doa iftitah dan ta'awuz (auuzubillah).

Dalam hal ini, Ma’mum yang masbuh tadi hendaklah terus membaca rukun qauli (bacaan) yang wajib. Bagi al-fatihah yang wajib adalah bermula denganbismillah.

Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang solat berimam maka bacaan imam itu adalah bacaannya".

Justeru, bagi mereka yang masbuh ketika imam sedang rukuk, mereka hendaklah terus rukuk mengikut imam dan tidak perlu lagi membaca fatihah.

Makmum itu dikira mendapat satu rakaat jika dia sempat rukuk bersama imam dengan tamaninah.

Bagaimanapun, suka diingatkan supaya jangan sengaja melewat-lewatkan bertakbir. Ini taktik orang yang menyangka mereka untung kerana tidak perlu membaca fatihah. Walhal perbuatan itu dihukumkan makruh.

4.       Soalan :
Apakah dalam bab masbuh, adakah nas atau dalil untuk kita tepuk bahu imam ?

Jawab:
Sebenarnya tidak ada nas berbuat demikian. Bahkan jika kita lakukan perbuatan itu sehingga mengganggu khusyuk solat orang lain, maka dihukumkan makruh.

Kalau kita hendak masbuh, cukup sekadar kita merapatkan diri dengan imam itu atau menguatkan suara semasa bertakbir.

Ini kerana, tidak disyaratkan seorang itu berniat imam kecuali semasa mengimamkan solat Jumaat.

5.       Soalan :
Apabila imam tersilap, contohnya tertinggal Tahiyyat Awal, bagaimana ma’mum boleh menegurnya ?

Jawab:
Dalam hal ini, ma’mum itu perlu tahu adakah kesilapan itu, samaada ianya perkara rukun atau sunat dalam solat.

Kalau dalam perkara sunat, ma’mum tidak dibenarkan melawan atau menyalahi imam. Contohnya, imam terlupa membaca tahiyat awal pada rakaat kedua sebaliknya terus qiam selepas sujud.

Dalam hal ini, ma’mum wajib ikut imam, cuma dia boleh menegur dengan menyebut subhanallah supaya imam tahu dia terlupa Tahiyyat Awal dan boleh sujud sahwi kemudian.

Jika ma’mum berkeras dan membaca Tahiyyat Awal maka solatnya batal.

Lain pula halnya jika yang terlupa itu melibatkan rukun. Contohnya, imam bangkit selepas rakaat ke-4 pada solat asar (imam terlebih rakaat).

Kalau ma’mum sedar imam terlebih rakaat, maka dia tidak boleh ikut bangun. Jika ma’mum ikut tambah satu rakaat, maka solatnya batal. Walhal bagi imam, solatnya sah kerana dikira uzur akibat terlupa. Dengan itu, imam boleh teruskan solat hingga memberi salam.

Sebaliknya ma’mum diberi pilihan sama ada

1.    Hendaklah duduk Tahiyyat Akhir dan tunggu imam sehingga sampai salam, atau
2.    Niat mufarakah (berpisah daripada imam).

APA ITU MUFARAQAH


Mufaraqah = niat untuk memisahkan diri dari mengikuti imam semasa mengerjakan solat berjamaah. Maksudnya dia kena meneruskan solatnya secara sendiri tanpa perlu berhenti dan ulang semula solatnya.

Kesimpulan bagi persoalan berkaitan hukum ma’mum berniat Mufaraqah (niat berpisah daripada imam) :

1             Dalam mazhab syafie ma’mum boleh niat mufaraqah dengan Imam samaada bersebab atau tidak. Ianya dihukumkan makruh.
Dalam solat Jumaat tidak sah niat mufaraqah pada rakaat pertama.
2        Mazhab Hanbali harus mufaraqah dengan Imam dengan sebab keuzuran, jika tanpa uzur ada 2 pendapat; pertama batal solatnya dan ini merupakan pandangan yang asah (diterima) dan kedua harus
3        Mazhab Hanafi: Makruh makmum memberi salam lebih awal dari Imam tetapi tidak harus Mufaraqah
4        Mazhab Maliki: Sesiapa yang mengikut Imam tidak harus mufaraqah dengan Imam

Keuzuran yang mengharuskan mufaraqah:

1        Imam membaca panjang sedangkan makmum ada keperluan
2        Imam meninggalkan perkara sunat seperti qunut/tahiyyat awal
3        Sakit
4        Bimbang dikuasai rasa mengantuk
5        Bimbang terbatal solat (rasa nak kencing)
6        Bimbang kehilangan harta
7        Bimbang ditinggalkan kawan
8        Menyelamatkan orang yang lemas, atau seumpamanya.

Dalil mazhab Syafie dan Hanbali:Diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Bukhari :

‏حَدَّثَنِي ‏مُحَمَّدُ بْنُ عَبَّادٍ ‏حَدَّثَنَا  ‏سُفْيَانُ  ‏عَنْ ‏عَمْرٍو ‏عَنْ ‏جَابِرٍ ‏قَالَ
‏كَانَ ‏مُعَاذٌ ‏يُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ثُمَّ يَأْتِي فَيَؤُمُّ قَوْمَهُ فَصَلَّى لَيْلَةً مَعَ النَّبِيِّ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏الْعِشَاءَ ثُمَّ أَتَى قَوْمَهُ فَأَمَّهُمْ فَافْتَتَحَ بِسُورَةِ ‏الْبَقَرَةِ ‏فَانْحَرَفَ ‏رَجُلٌ ‏فَسَلَّمَ ثُمَّ صَلَّى وَحْدَهُ وَانْصَرَفَ فَقَالُوا لَهُ أَنَافَقْتَ يَا فُلَانُ قَالَ لَا وَاللَّهِ وَلَآتِيَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏فَلَأُخْبِرَنَّهُ فَأَتَى رَسُولَ اللَّهِ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا أَصْحَابُ ‏نَوَاضِحَ ‏نَعْمَلُ بِالنَّهَارِ وَإِنَّ ‏مُعَاذًا ‏صَلَّى مَعَكَ الْعِشَاءَ ثُمَّ أَتَى فَافْتَتَحَ بِسُورَةِ ‏الْبَقَرَةِ ‏فَأَقْبَلَ رَسُولُ اللَّهِ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏عَلَى ‏مُعَاذٍ ‏فَقَالَ ‏يَا ‏مُعَاذُ ‏أَفَتَّانٌ ‏أَنْتَ اقْرَأْ بِكَذَا وَاقْرَأْ بِكَذَا قَالَ ‏سُفْيَانُ ‏فَقُلْتُ ‏لِعَمْرٍو ‏إِنَّ ‏أَبَا الزُّبَيْرِ ‏حَدَّثَنَا عَنْ ‏جَابِرٍ ‏أَنَّهُ قَالَ اقْرَأْ ‏وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا ‏وَالضُّحَى ‏وَاللَّيْلِ إِذَا ‏يَغْشَى ‏وَسَبِّحْ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى ‏فَقَالَ ‏عَمْرٌو ‏نَحْوَ هَذَا

Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya: Biasanya Muaz sembahyang bersama Nabi SAW kemudian beliau pulang mengimami kaumnya.

Pada suatu malam, beliau sembahyang Isyak bersama Nabi SAW kemudian pulang mengimami kaumnya. Beliau mulai dengan membaca surah Al-Baqarah. Maka ada seorang lelaki yang membatalkan sembahyangnya dengan memberi salam terlebih dahulu, kemudian mendirikan sembahyang bersendirian lalu beredar.

Orang ramai berkata kepadanya: Wahai Si Polan! Adakah kamu sudah menjadi munafik? Dia menjawab: Tidak! Demi Allah sesungguhnya aku akan menghadap Rasulullah SAW dan memberitahu akan hal ini. Orang tersebut menghadap Rasulullah SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami adalah seorang pemilik unta, penyiram tanaman dan kami berkerja pada siang hari.

Sesungguhnya Muaz telah mendirikan sembahyang Isyak bersama kamu lalu pulang dan mendirikan sembahyang dimulai dengan membaca surah Al-Baqarah. Rasulullah s.a.w menemui Muaz lalu bersabda: Wahai Muaz! Adakah kamu memesongkan sembahyang dengan membaca itu dan ini.

Sufian berkata: Aku berkata kepada Amru sesungguhnya Abu Az-Zubair menceritakan kepadaku dari Jabir bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Bacalah surah Asy-Syams, Ad-Dhuha dan Al-A’laa. Maka Amru berkata: Memang seperti itu.

[Hadis riwayat Imam Muslim, Kitab al-Solat Bab al-Qiraat fi al-Ishak (Bab Bacaan Dalam Solat Isyak, hadis no.175)]

Imam Nawawi menyebut dalam Sharh Sohih Muslim tentang hadis ini yang mempunyai beberapa hukum:

1        Harus orang yang solat fardu mengikuti orang yang solat sunat kerana Saidina Muaz menunaikan solat fardu bersama rasul SAW. Muaz telah menunaikan kewajipannya solat Isyak bersama rasul SAW, kemudian Muaz menjadi Imam kepada kaumnya, jadi Solat Muaz adalah sunat sedangkan kaumnya adalah fardu. Ini dijelaskan dalam riwayat lain selain Muslim. Hukum makmum solat fardu mengikut imam solat sunat adalah harus dalam  mazhab syafie dan lain-lain.

2        Hadis ini dijadikan dalil oleh pendukung mazhab syafie, harus bagi makmum memutuskan niat dari mengikut Imam dan meneruskan solatnya walaupun mengikut pergerakan Imam.

Berhubung masalah ini, ulama mazhab syafie terbahagi kepada 3 :

1.   merupakan pandangan yang paling sah (Asah = diterima) harus dengan uzur atau tanpa keuzuran
2.   Tidak harus secara mutlak
3.   Harus bagi orang uzur dan tidak harus bagi yang tiada keuzuran

Namun begitu Imam Nawawi menolak  golongan yang menjadikan hadis ini sebagai dalil harus mufaraqah kerana dalam riwayat ini lelaki tersebut memberi salam, menghentikan solat dan solat semula.

Dalam riwayat Imam al-Bukhariyy riwayatnya lebih ringkas juga dari Jabir bin Abdullah:

‏حَدَّثَنِي ‏مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ ‏قَالَ حَدَّثَنَا ‏غُنْدَرٌ ‏قَالَ حَدَّثَنَا ‏شُعْبَةُ ‏عَنْ ‏عَمْرٍو ‏قَالَ سَمِعْتُ ‏جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ ‏قَالَ
‏كَانَ ‏مُعَاذُ بْنُ جَبَلٍ ‏يُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ثُمَّ يَرْجِعُ فَيَؤُمُّ قَوْمَهُ فَصَلَّى الْعِشَاءَ فَقَرَأَ ‏بِالْبَقَرَةِ ‏فَانْصَرَفَ الرَّجُلُ فَكَأَنَّ ‏مُعَاذًا ‏تَنَاوَلَ مِنْهُ ‏فَبَلَغَ النَّبِيَّ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏فَقَالَ فَتَّانٌ فَتَّانٌ فَتَّانٌ ثَلَاثَ مِرَارٍ ‏أَوْ قَالَ فَاتِنًا فَاتِنًا فَاتِنًا ‏وَأَمَرَهُ بِسُورَتَيْنِ مِنْ أَوْسَطِ ‏الْمُفَصَّلِ

Hadis riwayat Imam al-Bukhari, Kitab al-Azan, Bab Iza Tawwala al-Imam Wa Kana Li al-Rajul Hajatan Fakharaja  Fa Salla (Bab sekiranya Imam Memanjangkan bacaan dan seorang itu ada hajat maka dia keluar dari Imam dan solat)

Ibnu Hajar al-Asqalani ketika menghuraikan hadis di atas memberi ulasan yang berbeza berkaitan kata “memberi salam” dalam riwayat Sufyan bin Uyaynah:

ولابن عيينة عند مسلم ” فانحرف رجل فسلم ثم صلى وحده ” وهو ظاهر في أنه قطع الصلاة , لكن ذكر البيهقي أن محمد بن عباد شيخ مسلم تفرد عن ابن عيينة بقوله ” ثم سلم ” , وأن الحفاظ من أصحاب ابن عيينة وكذا من أصحاب شيخه عمرو بن دينار وكذا من أصحاب جابر لم يذكروا السلام , وكأنه فهم أن هذه اللفظة تدل على أن الرجل قطع الصلاة ; لأن السلام يتحلل به من الصلاة , وسائر الروايات تدل على أنه قطع القدوة فقط ولم يخرج من الصلاة بل استمر فيها منفردا . قال الرافعي في ” شرح المسند ” في الكلام على رواية الشافعي عن ابن عيينة في هذا الحديث ” فتنحى رجل من خلفه فصلى وحده ” . هذا يحتمل من جهة اللفظ أنه قطع الصلاة وتنحى عن موضع صلاته واستأنفها لنفسه , لكنه غير محمول عليه ; لأن الفرض لا يقطع بعد الشروع فيه انتهى . ولهذا استدل به الشافعية على أنللمأموم أن يقطع القدوة ويتم صلاته منفردا ” فانحرف رجل فسلم ثم صلى وحده

“Dalam riwayat Ibnu Uyaynah secara zahirnya lelaki tersebut menghentikan solatnya, memberi salam dan solat semula secara bersendirian, tetapi al-Baihaqi menyebut bahawa Muhammad Ibn Abbad sahaja yang meriwayatkan dari Ibn Uyaynah dengan lafaz “Kemudian memberi salam” manakala Huffaz yang lain dari kalangan murid kepada Ibnu Uyaynah mahupun murid kepada guru Ibnu Uyaynah iaitu Amru bin Dinar dan murid kepada Jabir juga tidak menyebut perkataan” Memberi salam.”

Ini menunjukkan Abbad memahami maksud memutuskan dengan membatalkan solat sedangkan riwayat-riwayat yang lain menunjukkan lelaki  tersebut berpisah dari Imam dan tidak membatalkan solatnya.

Tindakan Nabi SAW menegur Muaz r.a dan tidak meminta lelaki tersebut mengulangi solatnya menunjukkan mufaraqah Imam dengan keuzuran tersebut adalah harus.

Kesimpulannya : Hukum asal solat berjemaah adalah mesti mengikut pergerakan dan perbuatan Imam namun Harus bagi makmum niat mufaraqah dengan imam dengan keuzuran dan menyempurnakan solat secara berseorangan berasaskan kepada hadis Muaz diatas. Wallahu’alam

SOAL & JAWAB

1.       Soalan :
Apa yang perlu dibuat oleh ma’mum apabila mengetahui imam telah batal solatnya tanpa si imam menyedarinya ? Apakah ma’mum harus membatalkan solatnya, atau terus mengikuti imam hingga solatnya selesai ?

Jawab :
Apabila ma’mum mengetahui bahawa imam batal solatnya, maka ma’mum
tidak boleh mengikuti imam dan tidak boleh pula menghentikan solatnya, dia kena teruskan solatnya dengan niat memisahkan diri dari imam (niat mufaraqah).
Sayid Abdurrahman Ba’alawi dalam kitabnya Bughyatul Mustarsyidin, halaman 74 telah mengutip fatwa pengarang kitab Kasyfun Niqab sebagai berikut :

Kesimpulannya, bahawa dalam niat berpisah dari imam itu terdapat 5 hukum. Ada kalanya wajib, seperti bila ma’mum melihat imam melakukan hal-hal yang membatalkan solatnya.”

Syeikh Zainuddin Al-Malibari dalam kitabnya Fathul Mu’in mengatakan :

“Niat Mufaraqah itu terkadang wajib, seperti ma’mum mengetahui ada hal-hal yang membatalkan solat imam, maka seketika itu pula ia wajib niat mufaraqah. Jika tidak berniat mufaraqah, maka solatnya batal sekalipun tidak mengikuti imam. Keputusan hukum ini telah disepakati oleh para ulama, sebagaimana yang diterangkan dalam kitab Al-Majmu.”

Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Majmu’ Syarah Al-Muhadzdzah, Juz IV, halaman 256 mengatakan :

“Jika ma’mum solat di belakang imam yang berhadas dengan sebab junub atau buang air dan lainnya, sedangkan ma’mum mengetahui bahawa imamnya berhadas, maka ia berdosa karena perbuatannya itu, dan batal solatnya menurut ijmak. Jika ia tidak mengetahui imamnya berhadas selain dari solat Jumat, maka sah solatnya. Akan tetapi bila ia mengetahui bahwa imamnya itu berhadas di tengah-tengah solat, maka wajib baginya niat mufaraqah dengan imam dan menyempurnakan solatnya secara munfarid (sendirian) melanjutkan rakaat solatnya. Seandainya dia terus saja mengikuti imamnya sekalipun hanya sebentar atau ia tidak berniat mufaraqah, maka solatnya dinyatakan batal menurut kesepakatan ulama.”