SOLAT JAMAK & SOLAT QASAR


Nota ini menjelaskan 3 jenis Ruksah Solat iaitu SOLAT JAMAK, SOLAT QASAR dan juga SOLAT JAMAK QASAR (2 IN 1 sekaligus).

Solat Jamak
Yang dimaksud dengan solat Jamak adalah menghimpunkan dua ibadah solat dalam satu waktu, misalnya solat Zohor dengan Asar, dan Maghrib dengan Isya.

Syarat Solat Jamak
  1. Niat bermusafir
  2. Bermusafir bukan kerana maksiat
  3. Tertentu destinasi permusafirannya (nyata tempat yang dituju)
  4. Jarak perjalanan mesti melebihi 90 KM (2 Marhalah)
  5. Solat Jamak mesti dilakukan selepas melepasi sempadan rumahnya atau kampungnya
  6. Solat Jamak mesti dilakukan dalam keadaan dia masih masih bermusafir (atau dalam keadaan tertentu yang dibenarkan syarak seperti hujan lebat, melakukan kerja berat dsb)
  7. Mesti niat untuk Solat Jamak semasa takbiratul-ihram solatnya
  8. Hanya solat Zohor dengan Asar, dan Maghrib dengan Isya dibenarkan jamak
  9. Muwalat (berturut-turut) iaitu selepas mengerjakan 1 solat terus lakukan solat kedua tanpa diselangi tempoh yang lama kira-kira sempat seseorang itu ambil wuduk.
  10. Mesti dia mengetahui selok belok ilmu Solat Jamak yang akan dikerjakannya

Berikut beberapa maklumat tentang Solat Jamak


1. Niat Bermusafir
Jika ia berniat (semasa bertolak) untuk duduk di sesuatu destinasi lebih dari 3 hari (tidak termasuk hari pergi dan hari pulang), maka ia tidak berhak untuk melakukan Solat Jamak.

Jika ia TIDAK berniat untuk duduk melebihi 3 hari atau langsung tidak niat berapa hari nak bermusafir, maka dalam tempoh itu, ia boleh menjamakkannya solatnya.

Kiraan 3 hari adalah tidak termasuk hari semasa dia pergi dan semasa hari dia pulang (kesimpulannya 5 hari).

2. Jarak 2 Marhalah

2 marhalah iaitu 4 burudin di mana setiap burudin mempunyai 4 farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, 2 marhalah adalah bersamaan 89 kilometer. (namun dalam nota ini saya lebih menekankan 90km = 2 marhalah)

3. Keadaan Semasa Bermusafir

Dibenarkan Solat Jamak samaada semasa dia musafirnya dalam keadaan aman, maupun dalam keadaan ketakutan; baik perjalanan wajib atau perjalanan biasa. Ini termasuklah perjalanan bagi mengerjakan ibadah Haji, untuk menuntut ilmu, untuk berdagang, mengunjungi sahabat dan lain-lain.

4. Selain bermusafir, Solat Jamak juga boleh dilakukan apabila..

Dibenarkan untuk Solat Jamak jika kita menempuh suatu keadaan yang sukar seperti hujan terlampau lebat, salji tebal, keadaan merbahaya di luar, semasa musim Haji, sakit dan sebagainya. [Rujuk kitab Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1375]

Atau sedang mengerjakan pekerjaan-pekerjaan berat yang betul-betul sulit untuk ditinggalkan

Ataupun sebab-sebab lain yang seseorang tidak mampu menunaikan solat tersebut tepat pada waktunya

5. Solat Jamak kerana Hujan

Dalam hadis yang diriwayatkan Imam Muslim, Ibnu Abbas menyebut: “RasululLah SAW solat jamak Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana musafir”. Ditanya Ibnu Abbas mengapa baginda melakukan demikian ?. Jawabnya: “Kerana tidak mahu menyusahkan umatnya”.

Dalam riwayat yang lain daripada Muslim juga disebut: “Baginda jamakkan solat tidak disebabkan ketakutan atau hujan”.

Imam Bukhori meriwayatkan bahawa ‘ sesungguhnya Nabi SAW menghimpunkan antara sembahyang maghrib dan isya’ pada waktu malam kerana hujan lebat’.

Kesimpulannya : Kemudahan Solat Jamak ( Jamak sahaja ) kerana hujan diberikan kepada ahli kariah yang rutin kebiasaannya mengerjakan solat secara berjemaah di masjid surau (yakni dia sentiasa solat berjamaah setiap waktu di masjid surau).

Dalam keadaan hujan lebat, becak dan pelbagai kesusahan kebasahan dia meneruskan perjalanannya ke masjid surau. Tiba di masjid surau itu dia harus buat solat Jamak (bukan dikerjakan dirumah). Itupun sekiranya dia menyakini hujan tidak akan berhenti hingga masuk waktu solat seterusnya. Juga dia mesti meyakini sekiranya dia pulang ke rumah dia tidak mampu ke masjid surau lagi untuk solat seterusnya.

Syarat hujan tersebut berlaku pada awal kedua-dua solat dan di antara keduanya dan pada salam solat pertama, maka dikala itu dia layak mengerjakan Solat Jamak. Tidak mengapa kalau sekiranya hujan itu berhenti di pertengahan solat pertama atau di pertengahan solat kedua.

6. Sakit atau uzur

Imam Ahmad Qadhi Hussain Al-Khattabi dan Al-Mutawwali dari kalangan mazhab Syafieyah membolehkan seseorang muslim menghimpunkan solat baik secara taqdim mahupun secara takhir. Mereka mengkiaskan bahawa kesukaran kerana sakit lebih besar daripada kesukaran kerana hujan.

Dalam kitab Al-Mughni dinyatakan bahawa sakit yang membolehkan seseorang menghimpunkan sembahyangnya ialah apabila sembahyang itu dikerjakan pada waktunya, akan menyebabkan kesukaran dan lemah badan samada seseorang ditimpa sakit teruk seperti sakit kepala , sakit perut ataupun cirit-birit sehingga penyakit yang dialaminya itu menghalangnya menunaikan sembahyang pada waktunya, maka ketika itu diharuskan menghimpunkan sembahyang jamak.

Namun ada sebahagian pengikut mazhab Syafie tidak membenarkan Solat Jamak kerana sakit, tetapi harus menurut mazhab Maliki dan Hanbali, (Rujuk Ikhtilaf Aimmah al-Ulama, Ibn Hubayrah, 1/150)

7. Kes Doktor Bedah, Polis Traffik, Pengendali Mesin, Wanita dalam bas

Bagi seorang yang betul-betul sibuk dengan tugas yang tidak dapat ditinggalkan (atau bila ditinggalkan akan mendatangkan kerosakan), maka baginya ada keizinan/keringanan untuk mengerjakan Solat Jamak (Zohor dengan Asar di waktu Zohor, atau Zohor dengan Asar di waktu Ashar). Begitu juga Maghrib dengan Isya, sekali pun ia berada di dalam kota atau negeri.

Tetapi, cara yang demikian bukanlah untuk dijadikan kebiasaan, namun dibenarkan bagi yang memang memerlukan, baik dalam solat atau diluar solat.

Hal-hal ini seperti mereka yang terlibat dalam urusan-urusan yang tidak dapat ditinggalkan seperti pembedahan, menjaga lalu lintas, mengendalikan urusan yang bahaya, atau peralatan yang bahaya, terlibat dengan peperiksaan yang tidak ada pilihan lagi.

Demikian juga bagi wanita yang dalam perjalanan dengan bas awam yang menyusahkannya bersolat di tengah perjalanan, maka dia boleh menjamakkan solat sejak di rumahnya, tanpa qasar. Begitulah juga dengan semua keadaan yang menyukarkan seseorang. Namun hendaklah dia mengutamakan menunaikan solat berdasarkan waktunya terlebih dahulu, jika benar-benar menyukarkan dan dia tidak mempunyai pilihan maka ketika itu diizin.

Rujuk : Kitab-kitab fekah yang memuatkan masalah ini, terutamanya dalam mazhab al-Imam Ahmad bin Hanbal. Rujuk juga al-Fatawa al-Kubra – Ibnu Taimiyah (2/348, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut ), Fatwa Mu‘asarah (1/245, cetakan Dar Uli al-Nuha, Beirut ) oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi.

8. Ada keperluan

Dalam kitab ‘Sayarah Muslim’ Imam An-Nawawi sebagai berikut :’Beberapa Imam membolehkan menghimpun sembahyang bagi orang yang tidak musafir, apabila ada keperluan, asalkan hal itu dijadikannya sebagai suatu kebiasaan’. Imam Bukhori dan Muslim meriwayatkan dari Ibnu Abbas yang berbunyi :’ sesungguhnya Nabi saw sembahyang di Madinah sebanyak lapan rakaat, iaitu masing-masing menghimpunkan sembahyang zohor dengan asar serta maghrib dengan isya’ .

9. Berada di Arafah dan di Muzdalifah

Para Ulamak sependapat bahawa menjamak sembahyang zohor dengan sembahyang asar secara jamak taqdim di Arafah dan menjamak sembahyang maghrib dengan sembahyang isya’ di Muzdalifah adalah hukumnya sunat.

10. Boleh Solat Jamak dalam Keadaan aman

"Telah berkata Ibnu Abbas: Rasulullah s.a.w. pernah sembahyang jamak antara Zohor dan Asar, dan antara Maghrib dan Isya, bukan diwaktu ketakutan dan bukan di dalam pelayaran (safa). Lantas ada orang bertanya kepada Ibnu Abbas: "Mengapa Rasulullah berbuat begitu ? Ia menjawab: "Rasulullah s.a.w. berbuat begitu kerana tidak mahu memberatkan seorangpun daripada umatnya". (HR Imam Muslim)

11. Tidak perlu qada Solat Jamak

Adapun solat jamak yang dilakukan seseorang selama masa bermusafir itu tidak perlu menqadakannya.

Solat Jamak boleh dilakukan dalam 2 bentuk :

Pertama : Solat Jamak Taqdim

Ertinya : Di gabungkan dua solat dalam waktu solat yang pertama seperti zohor dan asar di dalam waktu zohor, atau maghrib dan isyak di dalam waktu maghrib. Ia berdasarkan hadis sahih dari Muadz Bin Jabal riwayat Ahmad, Tirmizi Ibn Hibban dan lain-lain.

Syarat-syaratnya Jamak Takdim:

1) Solat dilakukan menurut tertibnya atau yang awal terlebih dahulu (zohor dahulu dan asar di kemudiannya, maghrib dahulu dan isyak di kemudiankan), jika tidak maka batal solatnya menurut mazhab Syafie. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/371 )

2) Berniat jamak ketika solat pertama dilakukan, dan harus juga berniat jamak walaupun solat telah bermula. Lafaz niatnya tidaklah perlu di baca dalam bahasa arab, dalam bahasa melayu juga di benarkan. Tetapi perlu ingat lafaz niat bukannya niat tetapi hanya sebagai pembantu agar niat boleh hadir dengan lebih mudah. Lafaz niat ini adalah saranan mazhab Syafie sahaja, manakala Rasulullah SAW sendiri tidak pernah melakukannya, justeru jika mampu menghadirkan niat di dalam hati tanpa berlafaz, itu yang terbaik.

3) Mestilah berturut-turut (Muwalat); Pastikan jangan terdapat pemisahan yang agak panjang atau urusan lain di tengah-tengah kedua-dua solat.

Kedua : Solat Jamak Takhir

Ertinya : Menggabungkan dua solat dalam satu waktu, iaitu waktu solat yang terkemudian. (seperti zohor dan asar di tunaikan dalam waktu asar).

Ia dibenarkan syarak berdasarkan hadis yang sohih dari Anas dan Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim.(Rujuk Naylul Awtar, 3/212)

Syarat-syaratnya Jamak Takhir :

1) Niat Takhir sebelum habisnya waktu solat pertama (iaitu niat dilewatkan solat pertama untuk digabungkan dalam waktu asar atau isyak)

2) Berterusan dalam keadaan musafir sehingga tamat solat yang kedua.

Jumlah Rakaat Solat Jamak

Dalam mengerjakan solat Jamak Taqdim atau solat Jamak Takhir bagi solat Zuhur, Ashar, Isya dan Maghrib, rakaatnya tetap, 4,4,4, dan 3.

Mana patut didahulukan bagi Solat Jamak

Dalam solat Jamak baik yang Jamak Taqdim maupun Jamak Takhir, maka solat yang patut dilaksanakan dahulu adalah solat yang empunya waktunya.

Jadi bagi Solat Jamak Takdim, bila selesai dengan solat Zohor, harus dilanjutkan dengan solat Asar; begitu pula dengan solat Maghrib dan Isya.

Begitu juga bagi Solat Jamak Takhir, oleh kerana kita kerjakan Zohor dalam waktu Asar maka kena buat Asar dulu diikuti solat Zohor; begitu pula, kena kerjakan solat Isya dulu diikuti dengan solat Maghrib, dahulukan yang empunya waktu. Wallahu’alam


Solat Qasar

Solat Qasar ialah solat yang dipendekkan, yakni memendekkan solat yang 4 rakaat menjadi 2 rakaat iaitu bagi solat zohor, solat asar dan solat isyak sahaja.

Hukum Solat Qasar

Dihukumkan harus berdasarkan kepada dalil berikut:

i. Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud;

"Dan apabila kamu berpergian di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu mengqashar solatmu jika kamu takut diserang orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang nyata bagimu".

ii. Al-Sunnah yang bermaksud;

‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al- Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah-Nya” (Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud)

ii. Dalam keterangan lain

Diriwayatkan bahawa Umar r.a. bertanya kepada Rasulullah s.a.w. :"Apakah halnya kita, sedangkan kita telah aman".

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Itu adalah sedekah yang diberikan Allah s.w.t. kepada kamu, maka terimalah sedekahnya itu" (HR Ja'la bin Umayyah)

Syarat Solat Qasar
  1. Niat bermusafir
  2. Bermusafir bukan kerana maksiat
  3. Tertentu destinasi permusafirannya (nyata tempat yang dituju)
  4. Jarak perjalanan mesti melebihi 90 KM (2 Marhalah).
  5. Solat Qasar mesti dilakukan solat Qasar setelah keluar dari tempat bermukim.
  6. Solat Qasar mesti dilakukan dalam keadaan dia masih masih bermusafir sehingga selesai atau sempurna solatnya.
  7. Mesti niat untuk Solat Qasar semasa takbiratul-ihram solatnya
  8. Solat yang hendak dipendekkan itu ialah sembahyang yang 4 rakaat, kita juga diharuskan mengqasar sembahyang qada’ yang telah luput pada masa musafir dan tidak diharuskan mengqasar solat subuh, maghrib, solat nazar dan solat sunat. 
  9. Muwalat (berturut-turut) iaitu selepas mengerjakan 1 solat terus lakukan solat kedua tanpa diselangi tempoh yang lama kira-kira sempat seseorang itu ambil wuduk.
  10. Tidak boleh berimamkan orang yang solat tamam ( solat yang sempurna 4 rakaat ) tetapi orang yang solat tamam boleh berimamkan orang yang sembahyang qasar.
  11. Mesti dia mengetahui hukum dan syarat Solat Jamak yang akan dikerjakannya

Peringatan : kalau kita ikut imam solat tamam, wajib kita tamamkan solat seperti imam tersebut.

Imam syafie berkata bahawa setiap orang musafir yang mengikut orang yang bermukim, hendaklah dia sempurnakan solatnya sebanyak 4 rakaat walaupun orang yang bermusafir itu berniat mengqasarkan solat zohornya di belakang imam yang melaksanakan solat jumaat.

Contoh Niat Solat Qasar : Sahaja aku solat fardu Zohor dua rakaat Qasar kerana Allah Taala

Berikut beberapa maklumat tentang Solat Qasar

1. Si-Bujang balik Kampung Asalnya

Seseorang yang kerja di KL, manakala kampung kelahirannya di Johor atau mana-mana jarak yang melebihi 90 KM. Apabila ia sampai ke kampong asalnya (ibu bapanya juga di sana) ia tidak boleh lagi menqasarkan solat kerana ia tidak dikira bermusafir lagi apabila telah sampai ke kampung walaupun berniat duduk kurang dari 3 hari.

2. Melawat Isteri di Kampungnya

Seseorang yang kampung kelahirannya di Perak, dan ia kerja di KL dan kampung isterinya di Johor. Apabila ia balik ke kampung isterinya, juga tidak boleh qasar apabila telah sampai. Bagaimanapun terdapat pandangan mengatakan si suami berhak menjamak dan qasar kerana ia bukan tempat tinggalnya. Bagi saya, keluar dari yang khilaf adalah lebih baik dalam hal ini.

3. Hal Solat Zohor & Solat Jumaat

Bila anda berpergian sebelum tergelincir matahari (iaitu sebelum Zuhur dan ternyata Zuhur tidak dapat dikerjakan pada waktunya kerana ada kerumitan atau halangan yang susah dielakkan), maka Zuhur dapat dikerjakan pada waktu Asar, bersama-sama dengan solat Ashar.

Bila anda keluar sesudah tergelincir matahari, yakni sudah dalam waktu Zuhur, sedangkan anda sendiri memperkirakan tidak mungkin ada kesempatan untuk mengerjakan solat Asar tepat pada waktunya, maka Asar dapat anda kerjakan bersama-sama solat Zuhur di waktu Zuhur itu juga, demikian halnya dengan solat Maghrib dan Isya.

Jika anda memulakan musafir pada hari Jumaat iaitu bertolak sebelum subuh pada hari Jumaat tersebut, maka anda diberi keringanan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat (hanya kerjakan solat zohor).

Tetapi jika anda bertolak selepas waktu subuh hari Jumaat, maka anda wajib tunaikan solat Jumaat

4. Jarak perjalanan yang disyariatkan qasar

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 101 yang bermaksud: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.

Dari ayat di atas, tidak ada batas tertentu tentang jarak perjalanan (musafir), sehingga berapapun jarak tempoh safar, dekat atau jauh, seseorang boleh melakukan qasar.

Ibnu Mundzir, menghimpun beberapa riwayat mengenai hal ini, di antaranya:

1. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim, dari Yahya ibn Yazid berkata: Aku bertanya kepada Anas ibn Malik tentang mengqasar solat ? Anas berkata: Dahulu Rasulullah SAW, jika keluar rumah yang jauhnya sampai tiga batu atau satu farsakh maka baginda mengqasar solat.

Ibnu Hajar dalam menerangkan status hadis ini mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis yang paling sahih dan jelas, berkenaan dengan masalah ini (masalah jarak perjalanan sehingga diperbolehkan qasar).

2. Dari Abu Said al-Khudri berkata: Ketika Rasulullah SAW melakukan safar sejauh satu farsakh, baginda mengqasar solat. (keterangan: 1 farsakh = >3 batu, 1 batu = > 1,748m, 3 batu = > 5km lebih).

Adapun pendapat ulama fiqh yang mensyaratkan bahawa boleh mengqasar solat dengan jarak perjalanan tertentu. Hal itu dibantah oleh Imam Khoroqi dalam kitab al-Mugni.

Saya tidak tahu dalil yang digunakan oleh para imam itu (imam-imam fiqh), kerana pernyataan para sahabat banyak yang bertentangan antara satu dengan yang lain, maka tidak boleh dijadikan dalil. Justeru itu saya tetap berpegang kepada 90 KM sebagai syarat untuk mengerjakan Solat Jamak Qasar. Wallahu’alam.

5. Bilakah seseorang itu dianggap musafir ?

1. Seorang musafir disyariatkan mengqasar solatnya selama dia masih dalam safar iaitu jika dia tinggal di suatu tempat (tidak tahu tempoh tinggalnya) untuk menyelesaikan urusannya, maka dia dianggap sebagai musafir. Dalam hal ini boleh dikatakan semua ulama mencapai kata sepakat.

2. Akan tetapi para ulama berselisih pendapat jika seseorang berniat tinggal di suatu tempat, dengan masa tertentu (dia sudah tahu masa lama tinggalnya).

Ibnu al-Qoyyim lebih memilih pendapat bahawa niat tinggal di suatu tempat dalam tempoh waktu tertentu, tidak menghapuskan taraf musafir selama ia tidak menjadi penduduk setempat.

Dalam hal ini, para ulama mempunyai pendapat sesuai dengan ijtihad masing-masing. Oleh yang demikian, setiap orang yang mempunyai kemampuan untuk mengkaji permasalahan-permasalahan fiqh, maka dia boleh mengambil pendapat berdasarkan dalil yang kuat. Namun begitu, bagi orang awam tidak mengapa jika mereka mengikuti
pendapat satu mazhab tertentu tanpa harus taksub dengan pendapat itu. Wallahu a'lam.

SOLAT JAMAK & QASAR (2 in 1 sekaligus)

Bagi orang yang sedang bermusafir, selain daripada dibolehkan menjamak dan mengqasarkan, mereka juga boleh menunaikan sembahyang jamak dan qasar sekaligus.

Perbezaannya ialah apabila seseorang mengqasarkan sembahyangnya sahaja maka dia mesti menunaikan pada waktunya tetapi apabila seseorang itu menunaikan sembahyang secara jamak dan qasar sekaligus, maka sembahyang tersebut boleh dihimpunkan dan dipendekkan rakaatnya,yakin masing-masing sembahyang dijadikan dua rakaat.

Keterangan kedudukan sembahyang yang lima waktu berkenaan dengan jamak dan qasar ini :

  1. Sembahyang yang boleh dijamakkan ialah sembahyang zuhur,asar,maghrib dan isyak.
  2. Sembahyang yang boleh diqasarkan ialah sembahyang yang empat rakaat sahaja iaitu fardu zuhur, asar dan isyak.
  3. Sembahyang yang boleh dijamak dan di qasarkan sekaligus ialah fardu zuhur, asar dan isyak.
  4. Sembahyang yang boleh dijamakkan sahaja ialah sembahyang fardu maghrib.
  5. Sembahyang yang tidak boleh dijamak mahupun diqasarkan ialah fardu subuh.

HAL-HAL YANG BERKENAAN DENGAN JAMAK DAN QASAR


Apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah maka ia harus melakukan solat qasar dan jamak sekaligus. Ertinya ia boleh menjamakkan di antara dua solat dan mengqasarkan sekali. Walau bagaimanapun, ia boleh melakukan di antara satu yang berikut :
  1. Menjamakkan dua solat fardu tanpa qasar
  2. Menjamakkan dua solat fardu dan qasar

Terdapat 2 kaedah yang boleh digunakan melalui cara ini :


Niat Jamak Taqdim dan Qasar :

i. Solat Zohor dan Asar. 

Sengaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat qasar serta di jama'kan dengan Asar kerana Allah Taala 

Mengerjakannya dengan azan dan diiringi iqamat. Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi tanpa menangguhkan (kecuali mengambil wuduk) dan berniat pula seperti berikut :

Sengaja aku solat fardu Asar dua rakaat qasar kerana Allah Taala 

ii. Solat Maghrib dan Isya' 

Sengaja aku solat fardu Maghrib tiga rakaat serta di jama'kan ke dalamnya Isya' kerana Allah Taala 

Solat maghrib tidak boleh diqasarkan. Cara melaksanakan jamak taqdim maghrib - isya' sama dengna niat jamak taqdim zohor-asar. setelah memberi salam kemudian bangun dan iqamat dan berniat seperti berikut :

Sengaja aku solat fardu Isya' dua rakaat qasar kerana Allah Taala 

Niat Jamak Takhir dan Qasar:

i. Solat Zohor dan Asar 

Sengaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat qasar serta di jama'kan dengan Asar kerana Allah Taala 

Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi dan berniat semula seperti berikut :

Sengaja aku solat fardu Asar dua rakaat qasar kerana Allah Taala 

ii. Solat Maghrib dan Isya' 

Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat dijamakkan dengan isya' tunai kerana Allah Taala.

Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi dan berniat semula seperti berikut :

Sengaja aku solat fardu Isya' dua rakaat qasar kerana Allah Taala 

Azan & Iqamah bagi Solat Jamak Qasar 

Bila ingin mengerjakan jamak dan qasar, jika ingin azan, maka azannya cukup satu kali saja dan iqamahnya dua kali. Caranya, mula-mula azan, lalu iqamah dan solat. Bila telah selesai ia iqamah sekali lagi untuk solat berikutnya.

TEMPOH YANG DIHARUSKAN QASAR ATAU JAMAK KETIKA BERMUSAFIR
  1. Kita dibenarkan sembahyang Jamak & Qasar disatu tempat semasa bermusafir selama 3 hari tidak tidak termasuk hari semasa kita pergi dan hari semasa kita pulang. Jumlah keseluruhan 5 hari.
  2. Jika kita niat hendak berhenti disatu tempat selama 4 hari atau lebih, maka kita tidak layak untuk mengerjakan Solat Jamak & Qasar bila tiba ditempat tersebut.
  3. Jika kita niat hendak berhenti terus disuatu tempat, maka berakhirlah musafir apabila sampai ke tempat tersebut. Kita tidak boleh lagi sembahyang jamak dam qasar kerana kita telah niat bermukim di situ.
  4. 4) Jika kita berhenti disuatu tempat dalam musafir kerana ada urusan yang dijangka selesai 2 atau 3 hari tetapi urusan itu tidak juga selesai dari sehari ke sehari, maka kita boleh terus sembahyang jamak dan qasar sehingga 18 hari.
  5. Jika kita bermusafir dalam keadaan tidak tahu tempoh berhenti atau tiada tempat yang tertentu yang dituju, kita tidak boleh mengerjakan sembahyang jamak dan qasar.
  6. Jika kita sedang sembahyang qasar dan jamak dalam kenderaan, tiba-tiba sampai ke tempat yang dituju yang itdak boleh jamak dan qasar atau sampai ke tempat asal ( tempat menetap ) kita wajib sudahkan sembahyang fadhu itu secara tamam ( empat rakaat ).
  7. Jika bermusafir tetapi tidak tahu hukum dan syarat-syarat mengenai sembahyang jamak dam qasar,maka kita wajib sembahyang tamam ( sempurna ) sepanjang musafir.
  8. Jika kita keluar dari rumah sebelum fajar hari jumaat, kita diharuskan mengerjakan sembahyang jumaat. Tetapi jika keluar selepas fajar hari jumaat, wajib mengerjakan sembahyang jumaat di mana tempat kita mendengar azan semasa kita bermusafir.