SOLAT JAMAK & SOLAT QASAR


Nota ini menjelaskan 3 jenis Ruksah Solat iaitu SOLAT JAMAK, SOLAT QASAR dan juga SOLAT JAMAK QASAR (2 IN 1 sekaligus).

Solat Jamak
Yang dimaksud dengan solat Jamak adalah menghimpunkan dua ibadah solat dalam satu waktu, misalnya solat Zohor dengan Asar, dan Maghrib dengan Isya.

Syarat Solat Jamak
  1. Niat bermusafir
  2. Bermusafir bukan kerana maksiat
  3. Tertentu destinasi permusafirannya (nyata tempat yang dituju)
  4. Jarak perjalanan mesti melebihi 90 KM (2 Marhalah)
  5. Solat Jamak mesti dilakukan selepas melepasi sempadan rumahnya atau kampungnya
  6. Solat Jamak mesti dilakukan dalam keadaan dia masih masih bermusafir (atau dalam keadaan tertentu yang dibenarkan syarak seperti hujan lebat, melakukan kerja berat dsb)
  7. Mesti niat untuk Solat Jamak semasa takbiratul-ihram solatnya
  8. Hanya solat Zohor dengan Asar, dan Maghrib dengan Isya dibenarkan jamak
  9. Muwalat (berturut-turut) iaitu selepas mengerjakan 1 solat terus lakukan solat kedua tanpa diselangi tempoh yang lama kira-kira sempat seseorang itu ambil wuduk.
  10. Mesti dia mengetahui selok belok ilmu Solat Jamak yang akan dikerjakannya

Berikut beberapa maklumat tentang Solat Jamak


1. Niat Bermusafir
Jika ia berniat (semasa bertolak) untuk duduk di sesuatu destinasi lebih dari 3 hari (tidak termasuk hari pergi dan hari pulang), maka ia tidak berhak untuk melakukan Solat Jamak.

Jika ia TIDAK berniat untuk duduk melebihi 3 hari atau langsung tidak niat berapa hari nak bermusafir, maka dalam tempoh itu, ia boleh menjamakkannya solatnya.

Kiraan 3 hari adalah tidak termasuk hari semasa dia pergi dan semasa hari dia pulang (kesimpulannya 5 hari).

2. Jarak 2 Marhalah

2 marhalah iaitu 4 burudin di mana setiap burudin mempunyai 4 farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, 2 marhalah adalah bersamaan 89 kilometer. (namun dalam nota ini saya lebih menekankan 90km = 2 marhalah)

3. Keadaan Semasa Bermusafir

Dibenarkan Solat Jamak samaada semasa dia musafirnya dalam keadaan aman, maupun dalam keadaan ketakutan; baik perjalanan wajib atau perjalanan biasa. Ini termasuklah perjalanan bagi mengerjakan ibadah Haji, untuk menuntut ilmu, untuk berdagang, mengunjungi sahabat dan lain-lain.

4. Selain bermusafir, Solat Jamak juga boleh dilakukan apabila..

Dibenarkan untuk Solat Jamak jika kita menempuh suatu keadaan yang sukar seperti hujan terlampau lebat, salji tebal, keadaan merbahaya di luar, semasa musim Haji, sakit dan sebagainya. [Rujuk kitab Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1375]

Atau sedang mengerjakan pekerjaan-pekerjaan berat yang betul-betul sulit untuk ditinggalkan

Ataupun sebab-sebab lain yang seseorang tidak mampu menunaikan solat tersebut tepat pada waktunya

5. Solat Jamak kerana Hujan

Dalam hadis yang diriwayatkan Imam Muslim, Ibnu Abbas menyebut: “RasululLah SAW solat jamak Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana musafir”. Ditanya Ibnu Abbas mengapa baginda melakukan demikian ?. Jawabnya: “Kerana tidak mahu menyusahkan umatnya”.

Dalam riwayat yang lain daripada Muslim juga disebut: “Baginda jamakkan solat tidak disebabkan ketakutan atau hujan”.

Imam Bukhori meriwayatkan bahawa ‘ sesungguhnya Nabi SAW menghimpunkan antara sembahyang maghrib dan isya’ pada waktu malam kerana hujan lebat’.

Kesimpulannya : Kemudahan Solat Jamak ( Jamak sahaja ) kerana hujan diberikan kepada ahli kariah yang rutin kebiasaannya mengerjakan solat secara berjemaah di masjid surau (yakni dia sentiasa solat berjamaah setiap waktu di masjid surau).

Dalam keadaan hujan lebat, becak dan pelbagai kesusahan kebasahan dia meneruskan perjalanannya ke masjid surau. Tiba di masjid surau itu dia harus buat solat Jamak (bukan dikerjakan dirumah). Itupun sekiranya dia menyakini hujan tidak akan berhenti hingga masuk waktu solat seterusnya. Juga dia mesti meyakini sekiranya dia pulang ke rumah dia tidak mampu ke masjid surau lagi untuk solat seterusnya.

Syarat hujan tersebut berlaku pada awal kedua-dua solat dan di antara keduanya dan pada salam solat pertama, maka dikala itu dia layak mengerjakan Solat Jamak. Tidak mengapa kalau sekiranya hujan itu berhenti di pertengahan solat pertama atau di pertengahan solat kedua.

6. Sakit atau uzur

Imam Ahmad Qadhi Hussain Al-Khattabi dan Al-Mutawwali dari kalangan mazhab Syafieyah membolehkan seseorang muslim menghimpunkan solat baik secara taqdim mahupun secara takhir. Mereka mengkiaskan bahawa kesukaran kerana sakit lebih besar daripada kesukaran kerana hujan.

Dalam kitab Al-Mughni dinyatakan bahawa sakit yang membolehkan seseorang menghimpunkan sembahyangnya ialah apabila sembahyang itu dikerjakan pada waktunya, akan menyebabkan kesukaran dan lemah badan samada seseorang ditimpa sakit teruk seperti sakit kepala , sakit perut ataupun cirit-birit sehingga penyakit yang dialaminya itu menghalangnya menunaikan sembahyang pada waktunya, maka ketika itu diharuskan menghimpunkan sembahyang jamak.

Namun ada sebahagian pengikut mazhab Syafie tidak membenarkan Solat Jamak kerana sakit, tetapi harus menurut mazhab Maliki dan Hanbali, (Rujuk Ikhtilaf Aimmah al-Ulama, Ibn Hubayrah, 1/150)

7. Kes Doktor Bedah, Polis Traffik, Pengendali Mesin, Wanita dalam bas

Bagi seorang yang betul-betul sibuk dengan tugas yang tidak dapat ditinggalkan (atau bila ditinggalkan akan mendatangkan kerosakan), maka baginya ada keizinan/keringanan untuk mengerjakan Solat Jamak (Zohor dengan Asar di waktu Zohor, atau Zohor dengan Asar di waktu Ashar). Begitu juga Maghrib dengan Isya, sekali pun ia berada di dalam kota atau negeri.

Tetapi, cara yang demikian bukanlah untuk dijadikan kebiasaan, namun dibenarkan bagi yang memang memerlukan, baik dalam solat atau diluar solat.

Hal-hal ini seperti mereka yang terlibat dalam urusan-urusan yang tidak dapat ditinggalkan seperti pembedahan, menjaga lalu lintas, mengendalikan urusan yang bahaya, atau peralatan yang bahaya, terlibat dengan peperiksaan yang tidak ada pilihan lagi.

Demikian juga bagi wanita yang dalam perjalanan dengan bas awam yang menyusahkannya bersolat di tengah perjalanan, maka dia boleh menjamakkan solat sejak di rumahnya, tanpa qasar. Begitulah juga dengan semua keadaan yang menyukarkan seseorang. Namun hendaklah dia mengutamakan menunaikan solat berdasarkan waktunya terlebih dahulu, jika benar-benar menyukarkan dan dia tidak mempunyai pilihan maka ketika itu diizin.

Rujuk : Kitab-kitab fekah yang memuatkan masalah ini, terutamanya dalam mazhab al-Imam Ahmad bin Hanbal. Rujuk juga al-Fatawa al-Kubra – Ibnu Taimiyah (2/348, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut ), Fatwa Mu‘asarah (1/245, cetakan Dar Uli al-Nuha, Beirut ) oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi.

8. Ada keperluan

Dalam kitab ‘Sayarah Muslim’ Imam An-Nawawi sebagai berikut :’Beberapa Imam membolehkan menghimpun sembahyang bagi orang yang tidak musafir, apabila ada keperluan, asalkan hal itu dijadikannya sebagai suatu kebiasaan’. Imam Bukhori dan Muslim meriwayatkan dari Ibnu Abbas yang berbunyi :’ sesungguhnya Nabi saw sembahyang di Madinah sebanyak lapan rakaat, iaitu masing-masing menghimpunkan sembahyang zohor dengan asar serta maghrib dengan isya’ .

9. Berada di Arafah dan di Muzdalifah

Para Ulamak sependapat bahawa menjamak sembahyang zohor dengan sembahyang asar secara jamak taqdim di Arafah dan menjamak sembahyang maghrib dengan sembahyang isya’ di Muzdalifah adalah hukumnya sunat.

10. Boleh Solat Jamak dalam Keadaan aman

"Telah berkata Ibnu Abbas: Rasulullah s.a.w. pernah sembahyang jamak antara Zohor dan Asar, dan antara Maghrib dan Isya, bukan diwaktu ketakutan dan bukan di dalam pelayaran (safa). Lantas ada orang bertanya kepada Ibnu Abbas: "Mengapa Rasulullah berbuat begitu ? Ia menjawab: "Rasulullah s.a.w. berbuat begitu kerana tidak mahu memberatkan seorangpun daripada umatnya". (HR Imam Muslim)

11. Tidak perlu qada Solat Jamak

Adapun solat jamak yang dilakukan seseorang selama masa bermusafir itu tidak perlu menqadakannya.

Solat Jamak boleh dilakukan dalam 2 bentuk :

Pertama : Solat Jamak Taqdim

Ertinya : Di gabungkan dua solat dalam waktu solat yang pertama seperti zohor dan asar di dalam waktu zohor, atau maghrib dan isyak di dalam waktu maghrib. Ia berdasarkan hadis sahih dari Muadz Bin Jabal riwayat Ahmad, Tirmizi Ibn Hibban dan lain-lain.

Syarat-syaratnya Jamak Takdim:

1) Solat dilakukan menurut tertibnya atau yang awal terlebih dahulu (zohor dahulu dan asar di kemudiannya, maghrib dahulu dan isyak di kemudiankan), jika tidak maka batal solatnya menurut mazhab Syafie. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/371 )

2) Berniat jamak ketika solat pertama dilakukan, dan harus juga berniat jamak walaupun solat telah bermula. Lafaz niatnya tidaklah perlu di baca dalam bahasa arab, dalam bahasa melayu juga di benarkan. Tetapi perlu ingat lafaz niat bukannya niat tetapi hanya sebagai pembantu agar niat boleh hadir dengan lebih mudah. Lafaz niat ini adalah saranan mazhab Syafie sahaja, manakala Rasulullah SAW sendiri tidak pernah melakukannya, justeru jika mampu menghadirkan niat di dalam hati tanpa berlafaz, itu yang terbaik.

3) Mestilah berturut-turut (Muwalat); Pastikan jangan terdapat pemisahan yang agak panjang atau urusan lain di tengah-tengah kedua-dua solat.

Kedua : Solat Jamak Takhir

Ertinya : Menggabungkan dua solat dalam satu waktu, iaitu waktu solat yang terkemudian. (seperti zohor dan asar di tunaikan dalam waktu asar).

Ia dibenarkan syarak berdasarkan hadis yang sohih dari Anas dan Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim.(Rujuk Naylul Awtar, 3/212)

Syarat-syaratnya Jamak Takhir :

1) Niat Takhir sebelum habisnya waktu solat pertama (iaitu niat dilewatkan solat pertama untuk digabungkan dalam waktu asar atau isyak)

2) Berterusan dalam keadaan musafir sehingga tamat solat yang kedua.

Jumlah Rakaat Solat Jamak

Dalam mengerjakan solat Jamak Taqdim atau solat Jamak Takhir bagi solat Zuhur, Ashar, Isya dan Maghrib, rakaatnya tetap, 4,4,4, dan 3.

Mana patut didahulukan bagi Solat Jamak

Dalam solat Jamak baik yang Jamak Taqdim maupun Jamak Takhir, maka solat yang patut dilaksanakan dahulu adalah solat yang empunya waktunya.

Jadi bagi Solat Jamak Takdim, bila selesai dengan solat Zohor, harus dilanjutkan dengan solat Asar; begitu pula dengan solat Maghrib dan Isya.

Begitu juga bagi Solat Jamak Takhir, oleh kerana kita kerjakan Zohor dalam waktu Asar maka kena buat Asar dulu diikuti solat Zohor; begitu pula, kena kerjakan solat Isya dulu diikuti dengan solat Maghrib, dahulukan yang empunya waktu. Wallahu’alam


Solat Qasar

Solat Qasar ialah solat yang dipendekkan, yakni memendekkan solat yang 4 rakaat menjadi 2 rakaat iaitu bagi solat zohor, solat asar dan solat isyak sahaja.

Hukum Solat Qasar

Dihukumkan harus berdasarkan kepada dalil berikut:

i. Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud;

"Dan apabila kamu berpergian di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu mengqashar solatmu jika kamu takut diserang orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang nyata bagimu".

ii. Al-Sunnah yang bermaksud;

‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al- Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah-Nya” (Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud)

ii. Dalam keterangan lain

Diriwayatkan bahawa Umar r.a. bertanya kepada Rasulullah s.a.w. :"Apakah halnya kita, sedangkan kita telah aman".

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Itu adalah sedekah yang diberikan Allah s.w.t. kepada kamu, maka terimalah sedekahnya itu" (HR Ja'la bin Umayyah)

Syarat Solat Qasar
  1. Niat bermusafir
  2. Bermusafir bukan kerana maksiat
  3. Tertentu destinasi permusafirannya (nyata tempat yang dituju)
  4. Jarak perjalanan mesti melebihi 90 KM (2 Marhalah).
  5. Solat Qasar mesti dilakukan solat Qasar setelah keluar dari tempat bermukim.
  6. Solat Qasar mesti dilakukan dalam keadaan dia masih masih bermusafir sehingga selesai atau sempurna solatnya.
  7. Mesti niat untuk Solat Qasar semasa takbiratul-ihram solatnya
  8. Solat yang hendak dipendekkan itu ialah sembahyang yang 4 rakaat, kita juga diharuskan mengqasar sembahyang qada’ yang telah luput pada masa musafir dan tidak diharuskan mengqasar solat subuh, maghrib, solat nazar dan solat sunat. 
  9. Muwalat (berturut-turut) iaitu selepas mengerjakan 1 solat terus lakukan solat kedua tanpa diselangi tempoh yang lama kira-kira sempat seseorang itu ambil wuduk.
  10. Tidak boleh berimamkan orang yang solat tamam ( solat yang sempurna 4 rakaat ) tetapi orang yang solat tamam boleh berimamkan orang yang sembahyang qasar.
  11. Mesti dia mengetahui hukum dan syarat Solat Jamak yang akan dikerjakannya

Peringatan : kalau kita ikut imam solat tamam, wajib kita tamamkan solat seperti imam tersebut.

Imam syafie berkata bahawa setiap orang musafir yang mengikut orang yang bermukim, hendaklah dia sempurnakan solatnya sebanyak 4 rakaat walaupun orang yang bermusafir itu berniat mengqasarkan solat zohornya di belakang imam yang melaksanakan solat jumaat.

Contoh Niat Solat Qasar : Sahaja aku solat fardu Zohor dua rakaat Qasar kerana Allah Taala

Berikut beberapa maklumat tentang Solat Qasar

1. Si-Bujang balik Kampung Asalnya

Seseorang yang kerja di KL, manakala kampung kelahirannya di Johor atau mana-mana jarak yang melebihi 90 KM. Apabila ia sampai ke kampong asalnya (ibu bapanya juga di sana) ia tidak boleh lagi menqasarkan solat kerana ia tidak dikira bermusafir lagi apabila telah sampai ke kampung walaupun berniat duduk kurang dari 3 hari.

2. Melawat Isteri di Kampungnya

Seseorang yang kampung kelahirannya di Perak, dan ia kerja di KL dan kampung isterinya di Johor. Apabila ia balik ke kampung isterinya, juga tidak boleh qasar apabila telah sampai. Bagaimanapun terdapat pandangan mengatakan si suami berhak menjamak dan qasar kerana ia bukan tempat tinggalnya. Bagi saya, keluar dari yang khilaf adalah lebih baik dalam hal ini.

3. Hal Solat Zohor & Solat Jumaat

Bila anda berpergian sebelum tergelincir matahari (iaitu sebelum Zuhur dan ternyata Zuhur tidak dapat dikerjakan pada waktunya kerana ada kerumitan atau halangan yang susah dielakkan), maka Zuhur dapat dikerjakan pada waktu Asar, bersama-sama dengan solat Ashar.

Bila anda keluar sesudah tergelincir matahari, yakni sudah dalam waktu Zuhur, sedangkan anda sendiri memperkirakan tidak mungkin ada kesempatan untuk mengerjakan solat Asar tepat pada waktunya, maka Asar dapat anda kerjakan bersama-sama solat Zuhur di waktu Zuhur itu juga, demikian halnya dengan solat Maghrib dan Isya.

Jika anda memulakan musafir pada hari Jumaat iaitu bertolak sebelum subuh pada hari Jumaat tersebut, maka anda diberi keringanan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat (hanya kerjakan solat zohor).

Tetapi jika anda bertolak selepas waktu subuh hari Jumaat, maka anda wajib tunaikan solat Jumaat

4. Jarak perjalanan yang disyariatkan qasar

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 101 yang bermaksud: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.

Dari ayat di atas, tidak ada batas tertentu tentang jarak perjalanan (musafir), sehingga berapapun jarak tempoh safar, dekat atau jauh, seseorang boleh melakukan qasar.

Ibnu Mundzir, menghimpun beberapa riwayat mengenai hal ini, di antaranya:

1. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim, dari Yahya ibn Yazid berkata: Aku bertanya kepada Anas ibn Malik tentang mengqasar solat ? Anas berkata: Dahulu Rasulullah SAW, jika keluar rumah yang jauhnya sampai tiga batu atau satu farsakh maka baginda mengqasar solat.

Ibnu Hajar dalam menerangkan status hadis ini mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis yang paling sahih dan jelas, berkenaan dengan masalah ini (masalah jarak perjalanan sehingga diperbolehkan qasar).

2. Dari Abu Said al-Khudri berkata: Ketika Rasulullah SAW melakukan safar sejauh satu farsakh, baginda mengqasar solat. (keterangan: 1 farsakh = >3 batu, 1 batu = > 1,748m, 3 batu = > 5km lebih).

Adapun pendapat ulama fiqh yang mensyaratkan bahawa boleh mengqasar solat dengan jarak perjalanan tertentu. Hal itu dibantah oleh Imam Khoroqi dalam kitab al-Mugni.

Saya tidak tahu dalil yang digunakan oleh para imam itu (imam-imam fiqh), kerana pernyataan para sahabat banyak yang bertentangan antara satu dengan yang lain, maka tidak boleh dijadikan dalil. Justeru itu saya tetap berpegang kepada 90 KM sebagai syarat untuk mengerjakan Solat Jamak Qasar. Wallahu’alam.

5. Bilakah seseorang itu dianggap musafir ?

1. Seorang musafir disyariatkan mengqasar solatnya selama dia masih dalam safar iaitu jika dia tinggal di suatu tempat (tidak tahu tempoh tinggalnya) untuk menyelesaikan urusannya, maka dia dianggap sebagai musafir. Dalam hal ini boleh dikatakan semua ulama mencapai kata sepakat.

2. Akan tetapi para ulama berselisih pendapat jika seseorang berniat tinggal di suatu tempat, dengan masa tertentu (dia sudah tahu masa lama tinggalnya).

Ibnu al-Qoyyim lebih memilih pendapat bahawa niat tinggal di suatu tempat dalam tempoh waktu tertentu, tidak menghapuskan taraf musafir selama ia tidak menjadi penduduk setempat.

Dalam hal ini, para ulama mempunyai pendapat sesuai dengan ijtihad masing-masing. Oleh yang demikian, setiap orang yang mempunyai kemampuan untuk mengkaji permasalahan-permasalahan fiqh, maka dia boleh mengambil pendapat berdasarkan dalil yang kuat. Namun begitu, bagi orang awam tidak mengapa jika mereka mengikuti
pendapat satu mazhab tertentu tanpa harus taksub dengan pendapat itu. Wallahu a'lam.

SOLAT JAMAK & QASAR (2 in 1 sekaligus)

Bagi orang yang sedang bermusafir, selain daripada dibolehkan menjamak dan mengqasarkan, mereka juga boleh menunaikan sembahyang jamak dan qasar sekaligus.

Perbezaannya ialah apabila seseorang mengqasarkan sembahyangnya sahaja maka dia mesti menunaikan pada waktunya tetapi apabila seseorang itu menunaikan sembahyang secara jamak dan qasar sekaligus, maka sembahyang tersebut boleh dihimpunkan dan dipendekkan rakaatnya,yakin masing-masing sembahyang dijadikan dua rakaat.

Keterangan kedudukan sembahyang yang lima waktu berkenaan dengan jamak dan qasar ini :

  1. Sembahyang yang boleh dijamakkan ialah sembahyang zuhur,asar,maghrib dan isyak.
  2. Sembahyang yang boleh diqasarkan ialah sembahyang yang empat rakaat sahaja iaitu fardu zuhur, asar dan isyak.
  3. Sembahyang yang boleh dijamak dan di qasarkan sekaligus ialah fardu zuhur, asar dan isyak.
  4. Sembahyang yang boleh dijamakkan sahaja ialah sembahyang fardu maghrib.
  5. Sembahyang yang tidak boleh dijamak mahupun diqasarkan ialah fardu subuh.

HAL-HAL YANG BERKENAAN DENGAN JAMAK DAN QASAR


Apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah maka ia harus melakukan solat qasar dan jamak sekaligus. Ertinya ia boleh menjamakkan di antara dua solat dan mengqasarkan sekali. Walau bagaimanapun, ia boleh melakukan di antara satu yang berikut :
  1. Menjamakkan dua solat fardu tanpa qasar
  2. Menjamakkan dua solat fardu dan qasar

Terdapat 2 kaedah yang boleh digunakan melalui cara ini :


Niat Jamak Taqdim dan Qasar :

i. Solat Zohor dan Asar. 

Sengaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat qasar serta di jama'kan dengan Asar kerana Allah Taala 

Mengerjakannya dengan azan dan diiringi iqamat. Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi tanpa menangguhkan (kecuali mengambil wuduk) dan berniat pula seperti berikut :

Sengaja aku solat fardu Asar dua rakaat qasar kerana Allah Taala 

ii. Solat Maghrib dan Isya' 

Sengaja aku solat fardu Maghrib tiga rakaat serta di jama'kan ke dalamnya Isya' kerana Allah Taala 

Solat maghrib tidak boleh diqasarkan. Cara melaksanakan jamak taqdim maghrib - isya' sama dengna niat jamak taqdim zohor-asar. setelah memberi salam kemudian bangun dan iqamat dan berniat seperti berikut :

Sengaja aku solat fardu Isya' dua rakaat qasar kerana Allah Taala 

Niat Jamak Takhir dan Qasar:

i. Solat Zohor dan Asar 

Sengaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat qasar serta di jama'kan dengan Asar kerana Allah Taala 

Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi dan berniat semula seperti berikut :

Sengaja aku solat fardu Asar dua rakaat qasar kerana Allah Taala 

ii. Solat Maghrib dan Isya' 

Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat dijamakkan dengan isya' tunai kerana Allah Taala.

Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi dan berniat semula seperti berikut :

Sengaja aku solat fardu Isya' dua rakaat qasar kerana Allah Taala 

Azan & Iqamah bagi Solat Jamak Qasar 

Bila ingin mengerjakan jamak dan qasar, jika ingin azan, maka azannya cukup satu kali saja dan iqamahnya dua kali. Caranya, mula-mula azan, lalu iqamah dan solat. Bila telah selesai ia iqamah sekali lagi untuk solat berikutnya.

TEMPOH YANG DIHARUSKAN QASAR ATAU JAMAK KETIKA BERMUSAFIR
  1. Kita dibenarkan sembahyang Jamak & Qasar disatu tempat semasa bermusafir selama 3 hari tidak tidak termasuk hari semasa kita pergi dan hari semasa kita pulang. Jumlah keseluruhan 5 hari.
  2. Jika kita niat hendak berhenti disatu tempat selama 4 hari atau lebih, maka kita tidak layak untuk mengerjakan Solat Jamak & Qasar bila tiba ditempat tersebut.
  3. Jika kita niat hendak berhenti terus disuatu tempat, maka berakhirlah musafir apabila sampai ke tempat tersebut. Kita tidak boleh lagi sembahyang jamak dam qasar kerana kita telah niat bermukim di situ.
  4. 4) Jika kita berhenti disuatu tempat dalam musafir kerana ada urusan yang dijangka selesai 2 atau 3 hari tetapi urusan itu tidak juga selesai dari sehari ke sehari, maka kita boleh terus sembahyang jamak dan qasar sehingga 18 hari.
  5. Jika kita bermusafir dalam keadaan tidak tahu tempoh berhenti atau tiada tempat yang tertentu yang dituju, kita tidak boleh mengerjakan sembahyang jamak dan qasar.
  6. Jika kita sedang sembahyang qasar dan jamak dalam kenderaan, tiba-tiba sampai ke tempat yang dituju yang itdak boleh jamak dan qasar atau sampai ke tempat asal ( tempat menetap ) kita wajib sudahkan sembahyang fadhu itu secara tamam ( empat rakaat ).
  7. Jika bermusafir tetapi tidak tahu hukum dan syarat-syarat mengenai sembahyang jamak dam qasar,maka kita wajib sembahyang tamam ( sempurna ) sepanjang musafir.
  8. Jika kita keluar dari rumah sebelum fajar hari jumaat, kita diharuskan mengerjakan sembahyang jumaat. Tetapi jika keluar selepas fajar hari jumaat, wajib mengerjakan sembahyang jumaat di mana tempat kita mendengar azan semasa kita bermusafir.

TENGOK DEKAT JANGAN TENGOK DARI JAUH

Pengerusi Surau ngajor SOLAT JAMAK & SOLAT QASAR. 2 perkara disentuh beliau dalam muqqadimahnya sebagai bahan renungan.

[1] Biasa kita dengor ustaz ngajor Tauhid ‘apa bukti Allah wujud ? sebab ada alam ini’. Tapi terasakah dalam diri kita :  bila lihat alam ! kita terasa pula kehebatan Allah, wujudnya Allah ?

Kebanyakan kita akan kata : TIDAK, aku tak terasa apa-apa !..sebab kenapa ? sebab kita lihat dengan mata kepala bukan dengan mata hati.


Nak rasa hebatnya Allah ! cuba lihat alam dari dekat....ooo tingginya pokok ni ! kalau tumbang hempap aku...kojol gamaknya... Laa tengok jauh kecik aje bukit ni...bila dekat,...tinggi rupanya, ade batu kapur, ada air terjun, ade gua... Eeee KLCC tengok jauh cam tiang aje...tengok dekat.. hebat...sana ada lif, sini ada pintu, corner sana, pusing sini, lantainya mozek, lampu canggih..hebatnya arkitek.

Oooo..kena tengok dari dekat baru kita tahu kehebatan.

Jadi ! bila dah terasa macam tu, maka bawalah hati kita untuk tunduk pula akan kehebatan Allah... sayu-sayukan lah hati kita. Ingat ! masa sihat kita sering alfa, tapi bila sakit barulah mula nak berTuhan, waktu tulah baru nak memikirkan siapa yang bagi sakit ? siapa Tuhanku....   Allahu Rabbi (Allah Tuhanku).

[2] Awas ! bila kita suka mendajal orang, memfitnah, ambik barang tanpa izin, atau lain-lain kejahatan,.. maka...di Akhirat nanti, kejahatan itu akan dipersoalkan, walau sebesar zarah sekalipun. Waktu itu kita di arah dipaksa berjumpa orang tersebut, untuk minta maaf, minta halalkan, minta ampun.

Agak-agak mudah ker kita nak jumpa orang tersebut di Akhirat nanti. Ingat ! di Mahsyar Akhirat itu semua manusia sejak zaman nabi Adam hingga akhir dunia dihidupkan kembali, penuh sesak, merana, sakit sana, derita sini, panas dahaga dan macam-macam kesakitan, ketidak selesaan,...aduh ! sakit kesan seksa di alam kubur juga masih terasa...waktu itulah kita kena jumpa orang yang kita dajal dulu..senang ker nak jumpa ?

Lihat aje gambar umat Islam tawaf Kaabah...tengok jauh alaa...senang aje tu, pusing tawaf 7 kali...tapi cuba pergi dekat ! alamak besar juga Kaabah ni, larat ker nak pusing2, aduh ! kita dihempit, dilangkah, ditendang, tersungkur, terlondeh ihram kita.. 

Ni nak cari orang yang kita dajal di Akhirat sana, di padang nan luas, di penuhi manusia, panas matahari sejengkal di atas kepala...kita kena cari, kena jumpa sorang2...cam semut jumpa rakannya, kalau ada 1000 semut 1000 itulah dia kena cium membernya. Agaknya.. gitulah kita di akhirat untuk cari orang yang kita dajal...kena cari sorang2 sampai berbilion2 orang perlu kita jumpa. kena tanya sorang2...itu kalau sorang sahaja kita dajal...kalau ramai...Ya Alllllahhh....baru kat Mahsyar...

Bila dah jumpa, agaknya dia orang nak maafkan kita ker ? no way ! Nak minta maaf boleh ! tapi BERSYARAT.. kita kena tanggung dosa dia plak. Atau ! kalau kita ada pahala, maka pahala kita kena beri kat dia...Saat itulah kita dikatakan bankrup akhirat.. Orang bankrup jumpa kehadrat Allah dengan dosa yang menimbun, lalu dengan kemurkaan Allah, kita dilemparnya ke neraka jahanam...jahanam...jahanamlah diri kita...Ya Allah ! ampunilah daku.

SIFAT MUKMIN

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : " Di dalam syurga itu terbahagi banyak Bilik. Dindingnya tembus pandang, dengan hiasan di dalamnya yang sangat menyenangkan. Di dalamnya pula ada pemandangan yang tidak pernah dilihat di dunia dan ada satu hiburan yang tidak pernah dirasakan manusia di dunia ".

Tanya para sahabat : “Untuk siapa bilik-bilik itu wahai Rasulullah?”. Jawab baginda Rasulillah SAW : 
  1. Untuk orang yang mengucapkan dan menyemarakkan salam,
  2. Untuk mereka yang memberikan makan kepada orang yang memerlukan dan,
  3. Untuk mereka yang membiasakan puasa juga,
  4. Untuk mereka yang  suka solat pada waktu malam ketika manusia lain sedang nyenyak tidur.
  • Orang yang bertemu temannya lalu memberi salam, bermakna telah menyemarakkan salam. 
  • Mereka yang memberi makan kepada ahli keluarganya, bererti termasuk orang yang membiasakan diri berpuasa
  • Mereka yang solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, bererti termasuk orang yang solat malam pada saat orang lain sedang tidur lena.”

Begitu penjelasan Nabi SAW kepada sahabatnya. 

TIMBANG RASA



Ada satu kisah mengenai sifat bertimbang rasa Rasulullah dan para sahabat yang patut kita jadikan teladan. Suatu hari seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW membawa daging yang sudah dimasak dan berkata, “ Ya Rasulullah, terimalah ini untuk para fakir miskin yang memerlukannya.

Waktu itu para fakir miskin yang ada di Masjid Nabawi sudah makan malam. “ Adakah di antara kalian yang masih mahu makan daging itu ? ” Mereka menjawab, “ Tidak, ya Rasulullah. Bukankah kami semua sudah makan ?

Rasulullah SAW kemudian menyuruh Abu Hurairah menghantarkan daging itu kepada Ummul Yatama, wanita yang ditinggal suaminya dan mempunyai beberapa orang anak. “ Saya diutus Rasulullah untuk menghantarkan daging untukmu dan anak-anakmu,” kata Abu Hurairah.

Namun Ummul Yatama berkata dengan ramah, " Sampaikan salamku untuk Rasulullah. Semoga baginda dan anda mendapat balasan yang setimpal atas kemurahan ini. Aku dan anak-anakku, Alhamdulillah sudah makan. Mereka kini sudah tidur semua."

Namun Abu Hurairah memaksanya. “ Terima saja, ya Ummul Yatama. Esok kalau anak-anakmu bangun tidur berikanlah daging ini.

Ibu itu menolak lagi. “ Wahai Abu Hurairah, siapa yang menjamin kami akan hidup hingga esok pagi? Bawa saja daging itu dan berikanlah kepada orang yang lebih fakir daripada kami.

Demikianlah indahnya akhlak Rasulullah dan para sahabat. Mereka saling memperhati dan tidak mementingkan dirinya sendiri. Keimanan mereka terpahat kukuh. Hati nurani mereka peka terhadap kesusahan dan penderitaan orang lain.

Tidak hairanlah apabila mereka mampu menguasai peradaban dunia. Keindahan akhlak menjadikan Islam bersinar di penjuru dunia. Itulah ciri mukmin sejati.

MUSUH IBLIS



Di riwayatkan bahawa pada suatu hari, Rasulullah SAW bertemu dengan iblis, lalu baginda bertanya kepadanya, “ Siapakah orang yang paling engkau benci ? ” Jawab iblis, " Aku benci kepada 20 jenis umatmu " :

  1. Engkau sendiri, wahai Muhammad. 
  2. Orang yang beramal dengan ilmunya. 
  3. Orang yang mengamalkan isi ajaran al-Quran. 
  4. Orang yang azan untuk sembahyang fardu. 
  5. Orang yang mengasihi orang miskin dan anak yatim. 
  6. Orang yang penyayang. 
  7. Orang yang tunduk pada kebenaran. 
  8. Orang yang menjaga makanannya (Makan makanan Halal)
  9. Orang muda yang taat kepada ALLAH 
  10. Orang muda yang saling berkasih sayang kerana ALLAH. 
  11. Orang yang bersembahyang secara berjemaah. 
  12. Orang yang bersembahyang tahajjud ( waktu malam ) 
  13. Orang yang menjaga dirinya daripada perkara yang haram. 
  14. Orang yang menasihati saudaranya dengan ikhlas. 
  15. Orang yang sentiasa mengekalkan wuduk 
  16. Orang yang murah hati. 
  17. Orang yang berakhlak mulia. 
  18. Orang yang yakin dengan jaminan rezeki daripada ALLAH. 
  19. Orang yang berbuat baik terhadap janda ( menjaga kebajikan mereka) 
  20. Orang yang bersedia untuk mati.

TALAQ, FASAKH, KHULU', TA'LIQ, LI'AN, ILA' & ZIHAR

TERDAPAT BEBERAPA CARA UNTUK MEMBUBARKAN PERKAHWINAN

1.     Talaq
2.     Fasakh
3.     Khulu [Tebus Talaq]
4.     Takliq
5.     Lian
6.     Ila’
7.     Zihar


Meskipun pembubaran perkahwinan dibenarkan, termasuk peruntukan khulu’, fasakh dan ta’liq yang diberikan kepada wanita namun usaha-usaha hendaklah dibuat untuk menyelamatkan sesuatu perkahwinan itu sebagaimana yang difirmankan Allah SWT yang bermaksud: “... dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah orang tengah (hakam) iaitu Seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua orang tengah itu bertujuan hendak mendamaikan nescaya Allah akan menjadikan kedua-duanya itu berpakat baik.” (an-Nisa’: 35)

Sesungguhnya di antara lelaki dan wanita itu terdapat perbezaan dalam membuat sesuatu keputusan di mana kebiasaannya wanita itu lebih mudah tunduk pada perasaan, apalagi jika sedang berada di saat-saat genting di mana persoalan perceraian sebenarnya memerlukan kepada pemikiran yang rasional.

Sabda rasulullah SAW yang bermaksud: “Mana-mana isteri yang meminta cerai dari suaminya tanpa alasan maka haram kepadanya bau syurga.” (Ahmad dan at-Tirmizi)

Manakala pihak lelaki pula tidak boleh terburu-buru menggunakan kuasa yang ada (untuk menceraikan) dan mesti berfikiran tenang terutama dalam mempertimbangkan kewajiban dan tanggungjawabnya terhadap keluarga.

Firman Allah SWT yang maksudnya: ‘...dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)” (an-Nisaa’: 19).


TALAQ 


PENGERTIAN TALAQ


Talaq dari segi bahasa bererti melepaskan ikatan. Dari segi syara‘ ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz talaq atau seumpamanya.

Talaq : Perceraian yang dilakukan oleh suami dengan lafaz talak satu, dua atau tiga sama ada secara nyata atau kiasan.

Maka sesudah berlaku talak tiga, rujuk atau kahwin semula tidak boleh dilakukan lagi antara suami isteri tersebut. Perkahwinan semula antara keduanya hanya dibenarkan jika isteri yang diceraikan itu telah berkahwin dengan lelaki lain dan telah melakukan persetubuhan dengan suaminya yang kedua dan selepas suami yang kedua itu dengan kerelaan sendiri menceraikan isterinya itu.

Ini merujuk kepada firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu jika ia diceraikan (oleh Suami yang baru dan habis ‘iddahnya) maka mereka berdua (bekas suami dan bekas isteri) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula) jika mereka benar-benar yakin dapat menegakkan aturan hukum Allah. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkan kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.” (al-Baqarah: 230).

DALIL HARUS TALAQ

Firman Allah subhanahu wata‘ala, Maksudnya: “Cerai (talaq) itu dua kali, selepas itu peganglah isteri kamu (ruju‘ dan kekallah) dengan cara yang baik atau lepaskanlah dengan cara yang baik.” (Surah Al-Baqarah, 2:229)

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anh yang bermaksud: “Rasulullah SAW telah menceraikan isterinya Hafsah kemudian Baginda meruju`nya semula.” (Riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)

RUKUN DAN SYARAT TALAQ

1.    Suami. Syarat-syarat suami ialah:


  1. Mestilah seorang lelaki itu telah menjadi suami melalui perkahwinan yang sah, tidak jatuh talaq jika belum berkahwin atau setelah bercerai dan habis ‘iddah.
  2. Hendaklah dalam keadaan sedar, tidak jatuh talaq jika sekiranya gila,  pengsan, mengigau dan pitam kecuali mabuk yang disebabkan meminum minuman keras dengan sengaja.
  3. Baligh.
  4. Dengan rela hati dan tidak dipaksa, tidak jatuh talaq jika diugut menceraikan isteri.


2.    Isteri. Syarat-syarat isteri:
  1. Perempuan yang diceraikan hendaklah menjadi isteri yang sah semasa diceraikan.
  2. Talaq akan bertambah lagi jika suami mentalaqkan isteri yang di dalam ‘iddah perceraian talaq satu.


3.    Sighah (lafaz). Sighah talaq terbahagi kepada dua:

  1. Lafaz sarih (terang)iaitu yang diucapkan dengan terang dan jelas. Lafaz sarih ini terbahagi kepada tiga ucapan seperti berkata: “Aku ceraikan engkau talaq satu”,  “Aku lepaskan kau” dan “Aku talaqkan kau”. Talaq dengan lafaz yang seperti ini akan jatuh talaqnya walaupun tanpa niat.
  2. Lafaz kinayah (lafaz kiasan)iaitu cerai yang dilafazkan menggunakan bahasa sindiran seperti berkata: “Engkau haram atas diriku” atau “Pergilah balik ke rumah emak bapak kamu”. Lafaz kinayah ini akan jatuh talaq jika suami berniat menceraikan isterinya.


4.    Qasad (niat).


HUKUM TALAQ

Hukum menjatuhkan talaq pada asalnya diharuskan dalam Islam, tetapi ia akan berubah menjadi:

  1. Wajib: Setelah rumahtangga itu gagal diperbaiki dengan keputusan hakim atau suami telah bersumpah untuk menceraikan isterinya.
  2. Haram: Menceraikan isteri semasa isteri di dalam waktu haidh atau ketika suci tetapi baru disetubuhi.
  3. Sunat: Jika suami tidak dapat menyempurnakan nafkah batin.
  4. Makruh: Boleh menjadi haram jika menceraikan isteri tanpa sebab yang munasabah.

Islam menetapkan hanya suami sahaja yang mempunyai kuasa untuk menjatuhkan talaq. Walaubagaimanapun, isteri juga diberikan hak untuk memohon cerai dengan cara fasakh atau khulu‘ (tebus talaq).


PEMBAHAGIAN TALAQ


Talaq terbahagi kepada dua jenis iaitu:
  1. Talaq Raj‘iiaitu talaq yang boleh diruju‘ kembali tanpa perlu akad nikah iaitu ketika isteri dalam waktu ‘iddah (sebelum tiga kali suci daripada haidh).
  2. Talaq Ba’inia terbahagi kepada dua:

  • Ba’in sughra ialah talaq yang tidak boleh diruju‘ oleh suami kecuali diadakan akad nikah semula iaitu perceraian sama ada melalui fasakh, khulu‘ atau talaq isteri yang belum disetubuhi.
  • Ba’in kubra ialah talaq yang tidak boleh diruju‘ kembali dengan cara biasa melainkan setelah syarat berikut dipenuhi:

  1. Setelah selesai ‘iddah si isteri.
  2. Bekas isteri berkahwin dengan suami lain.
  3. Suami lain menyetubuhi bekas isteri itu dan berlaku perceraian.
  4. Selesai ‘iddah dari suami yang lain itu.


FASAKH

PENGERTIAN FASAKH

Fasakh ialah membatalkan atau pembubaran akad nikah disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada waktu akad atau kecacatan yang mendatang selepas berlakunya akad nikah yang menghalang kekalnya perkahwinan.

SEBAB FASAKH

Antara sebab yang boleh menyebabkan berlakunya fasakh yang menghalang perkahwinan tersebut diteruskan seperti

1. Sebab yang merosakkan akad.

  1. Perkahwinan antara muhrim, sama ada sebab keturunan, susuan atau persemendaan.
  2. Isteri orang, atau isteri yang dalam tempoh ‘iddah talaq suami pertamanya. 
  3. Pernikahan yang dilakukan semasa belum baligh (kecil) dan apabila baligh minta difasakhkan akad itu. 
  4. Wali fasiq atau 
  5. Saksi fasiq (akad tidak sah sejak diadakan), 
  6. Murtad salah seorang daripada keduanya (akad terbatal)


2. Sebab yang mendatang selepas pernikahan.

  1. Salah seorang daripada suami atau isteri itu murtad 
  2. Pasangan suami isteri bukan Islam semasa bernikah dan salah seorang memeluk Islam. 
  3. Akad Nikah sah tetapi difasakhkan oleh qadhi atas tuntutan isteri sama ada kerana suami berpenyakit (dalam kes ini perkahwinan tidak boleh dibubarkan selagi tidak dibicarakan dan diputuskan oleh qadhi atau hakim Mahkamah Syariah), 
  4. Tidak kufu’, 
  5. Suami tidak mampu membayar mahar (pemberian wajib daripada suami kepada isteri) atau 
  6. Suami tak mampu beri nafkah (mengeluarkan belanja kepada mereka yang berada di dalam tanggungan) atau 
  7. Berlaku kesukaran di pihak isteri kerana suami hilang, suami dipenjara, suami menyakiti isteri secara keterlaluan (penderaan fizikal dan mental) atau sebagainya. 
  8. Suami telah melakukan salah satu perkara yang diharamkan sebab persemendaan seperti berzina dengan ibu mertua 

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam [Negeri Melaka 2002, Seksyen 53] menambah lagi sebab-sebab yang menyebabkan berlakunya fasakh seperti di bawah ini:
  1. Tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih dari setahun.
  2. Suami cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan nafkah bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan.
  3. Suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.
  4. Suami telah tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama tempoh satu tahun.
  5. Suami mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami mati pucuk.
  6. Suami telah gila selama tempoh dua tahun, sedang mengidap penyakit kusta atau sedang mengidap penyakit kelamin yang boleh berjangkit.
  7. Isteri telah dikahwinkan oleh bapa atau datuknya sebelum dia mencapai umur enam belas (16) tahun, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas (18) tahun dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu.
  8. Walaupun empat bulan berlalu perkahwinan itu belum disatukan kerana suami atau isteri bersengaja enggan bersetubuh.
  9. Isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah sama ada dengan sebab paksaan, kesilapan, ketidak sempurnaan akal atau lain-lain hal yang diakui oleh hukum syara‘.
  10. Suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya, iaitu antaranya:


  • 1. Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan  kelakuan aniaya.
  • 2. Berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki yang berperangai jahat atau hidup keji mengikut pandangan hukum syara‘.
  • 3. Cuba memaksa isteri hidup secara lucah.
  • 4. Melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu daripada menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu.
  • 5. Menghalang isteri atau suami daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya.
  • 6. Jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isterinya secara adil mengikut kehendak-kehendak hukum syara‘.


HIKMAH FASAKH

  1. Untuk menjamin hak dan perlindungan kepada kaum wanita sekiranya mereka teraniaya.
  2. Menyedarkan kaum suami bahawa perceraian bukan hanya dimiliki secara mutlak oleh suami sahaja.
  3. Menunjukkan keunggulan syari‘at Allah subhanahu wata‘ala yang Maha Mengetahui akan keperluan hambaNya.


KHULU’ (Tebus Talaq)

PENGERTIAN KHULU‘


Khulu‘ dari segi bahasa bererti melepas atau menanggalkan. Manakala dari segi syara‘ pula ialah perceraian daripada suami ke atas isteri dengan tebusan yang diterima oleh suami.


Contohnya suami berkata “Aku talaqkan kamu dengan bayaran sekian banyak” atau isteri berkata: “Aku menebus talaq ke atas diriku dengan bayaran sekian banyak”.


Khulu’ : Ia juga dikenali sebagai ‘Tebus Talaq’ yang bermaksud pembubaran perkahwinan yang diperolehi oleh seorang isteri dengan membayar kepada suaminya dengan sesuatu benda yang berharga di mana kadar benda tersebut adalah berdasarkan persetujuan antara suami dan isteri berkenaan atau berdasarkan kepada keputusan qadhi. Ini dikira sebagai ganti rugi-kepada suami berkenaan.


Hal ini adalah berdasarkan pengertian yang diambil dari sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas RA bahawa isteri Thabit bin Qais telah datang berjumpa Rasulullah SAW lantas berkata “wahai Rasulullah, saya hendak meminta cerai dari suami saya dan tidak ada cacian terhadapnya tentang perangainya dan keagamaannya tetapi saya bencikan sifat kekufuran yang ada padanya sedangkan saya seorang Islam.” Maka sabda Rasulullah SAW “Adakah engkau bersedia mengembalikan kebunnya yang telah diberikan kepada kamu sebagai mas kahwin?” Jawabnya: “Ya saya bersedia.” Lalu baginda menyuruh Thabit bin Qais menerima kembali kebunnya dan menceraikan isterinya. Maka Thabit menerima perintah baginda dan diceraikan isterinya. (Bukhari dan an-Nasa’i)

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami dan isteri) takut tidak dapat menegakkan peraturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami tentang bayaran itu). Itulah peraturanperaturan hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar peraturan-peraturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (al-Baqarah: 229)

Secara umumnya apa sahaja yang boleh dijadikan mahar (mas kahwin) boleh dijadikan bayaran khulu’. Iaitu setiap barang yang bernilai atau mempunyai manfaat dan ditentukan secara pasti tentang benda dan faedah yang hendak digunakan sebagai bayaran khulu’ tersebut.

Nafkah yang wajib ke atas suami kepada isterinya atau nafkah anak kecil yang berada di bawah jagaan ibu atau bayaran susuan dan jagaan anak dengan ditentukan jangka waktunya juga boleh dijadikan bayaran khulu’ dari isteri. Dengan ini nafkah yang wajib dibayar oleh suami tidak perlu lagi dibayar dan ia ditanggung sendiri oleh isteri.

Di antara kesan khulu’ ialah bekas suami tidak boleh rujuk kepada bekas isterinya, bekas suami tidak boleh menambah talaq ke atas bekas isterinya, bekas suami tidak boleh menambah talaq ke atas bekas isterinya dalam waktu ‘iddah dan suami juga tidak boleh berkahwin dengan bekas isterinya kecuali dengan akad dan mas kahwin yang baru.

Iddah bagi isteri yang dikhulu’ adalah sekali haidh dan pembubaran menerusi khulu’ ini boleh dilakukan pada bila-bila masa iaitu waktu suci atau waktu isteri sedang haidh.

Maka berdasarkan khulu’ ini inisiatif untuk perceraian datang dari pihak isteri sendiri dan alasan yang boleh diterima oleh syarak. Namun dalam hal ini mana-mana suami adalah dilarang menggunakan kesempatan untuk bertindak menimbulkan kesukaran kepada isterinya bagi mendapat khulu’ daripadanya kerana dalam kes begini ahli feqah berpendapat khulu’ adalah batal dan bayaran tebus talaq dipulangkan kepada si isteri semula.

DALIL PENSYARI‘ATAN KHULU‘

Firman Allah subhanahu wata‘ala, maksudnya: “Talaq (yang boleh diruju‘ kembali) hanya dua kali. Sesudah itu peganglah (ruju‘) atau lepaskan (cerai) dengan cara yang baik. Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri yang kamu ceraikan) kecuali jika keduanya takut tidak dapat menegakkan peraturan-peraturan hukum Allah. Oleh itu, kalau kedua-kedua kamu khuatir maka tidaklah berdosa tentang bayaran balik (tebus talaq) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya.” (Surah Al-Baqarah, 2:229)

SYARAT SAH KHULU‘


  1. Suami: Baligh, berakal, mukhtar (bebas) melakukan khulu‘ bukan dipaksa.
  2. Isteri: Hendaklah seorang yang boleh menguruskan harta dan mukallaf.
  3. Lafaz khulu‘: Hendaklah disebut dengan terang.
  4. Bayaran khulu‘: Hendaklah dijelaskan dengan jumlah yang tertentu.

Peringatan:
Walaupun isteri mempunyai hak untuk memohon fasakh dan khulu‘, tetapi Rasulullah SAW menuntut agar ia tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Mana-mana perempuan yang memohon cerai daripada suaminya tanpa sebab yang munasabah maka haram ke atasnya bau syurga. (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad)


TA’LIQ

PENGERTIAN TA‘LIQ


Ta‘liq ialah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya sesuatu yang bertentangan dengan ta‘liq tersebut.

Ta’liq : iaitu menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa atau sesuatu perbuatan seperti kata suami kepada isterinya: “Sekiranya kau pergi ke tempat tertentu maka kau tertalaq.”

Perceraian tidak berlaku semasa suami melafazkan ta’liq tetapi hanya berlaku sekiranya syarat yang disebut dalam lafaz ta’liq tersebut dilanggar.

Di Malaysia cerai ta’liq ini adalah suatu bentuk perceraian yang biasa diamalkan. Selepas akad nikah seseorang suami dikehendaki melafazkan ucapan ta’liq dan menandatangani surat ta’liq di hadapan juru nikah.

Contohnya seperti di Wilayah Persekutuan, lafaz ta’liq tersebut adalah: 

Bahawa adalah saya mengaku apabila tinggalkan isteri saya (nama) selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut pada hal atau saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badannya kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan memberi kepada Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu” 
[Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, Kaedah-kaedah Keluarga Islam (borang dan Fee) 1985 (seksyen 134(3)]


SYARAT TA‘LIQ

  1. SuamiHendaklah mempunyai keahlian menjatuhkan cerai dengan melafazkan kata-kata ta‘liq.
  2. Belum berlakuHendaklah ta‘liq ke atas perkara yang belum berlaku atas perkara yang mungkin berlaku.
  3. Isteri - Hendaklah menjadi ahli cerai (masih menjadi isteri yang sah).

Contohnya suami berkata kepada isteri: “Jika engkau keluar dari rumah ini sepanjang ketiadaan aku, jatuhlah talaq engkau” atau “Apabila engkau pergi ke rumah si anu, jatuhlah talaq” atau “Manakala engkau pergi ke sana tanpa izinku jatuh talaq” atau sebagainya.

Apabila berlakunya perkara yang bertentangan dengan syarat yang dilafazkan, maka terjatuhlah talaq menurut hukum syara‘.

PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG MENGENAI TA‘LIQ

Berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 50, seseorang perempuan yang bersuami boleh jika berhak memohon penceraian menurut syarat-syarat ta‘liq yang dibuat selepas akad nikah. Kandungan lafaz ta‘liq tersebut :


  1. Meninggalkan isteri selama empat bulan berturut-turut.
  2. Tidak memberi nafkah yang wajib selama empat bulan berturut-turut.
  3. Menyakiti tubuh badan isteri.
  4. Suami tidak mempedulikan isteri selama tempoh empat bulan berturut- turut.


LI’AN

PENGERTIAN LI‘AN

Li‘an berlaku apabila terjadinya qazaf iaitu suami menuduh isterinya berlaku zina atau menafikan anak yang dikandungkan oleh isterinya sebagai anak.

Li‘an ialah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya berzina tanpa mempunyai empat orang saksi kecuali dirinya sahaja, maka hendaklah dia bersumpah empat kalibahawa dia adalah orang yang benar” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika dia berdusta”.

Sekiranya isteri menolak tuduhan tersebut, maka hendaklah dia bersumpah sebanyak empat kali “bahawa suaminya itu berdusta” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika suaminya benar”.

Li’an : Ianya berlaku apabila seseorang suami bersumpah menuduh isterinya melakukan zina dan isterinya juga bersumpah menafikan tuduhan suaminya itu.

Firman Allah subhanahu wata‘ala: “Adapun orang yang menuduh isterinya berzina sedangkan mereka tidak ada saksi (empat orang) kecuali hanya dirinya sahaja maka persaksian bagi orang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah orang yang benar. Dan sumpahan yang kelima bahawa laknat Allah akan menimpanya jika dia berdusta. Dan untuk menghindarkan seksa terhadap isteri yang tertuduh itu hendaklah si isteri bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sumpahan yang kelima hendaklah dia berkata kemungkaran Allah akan menimpa dirinya.” (Surah An-Nur, 24:6-9)

KESAN LI‘AN

Berdasarkan Seksyen 51 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 menegaskan bahawa: “Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan telah mengangkat sumpah dengan cara li‘an mengikut hukum syara‘ di hadapan seorang hakim syar‘i, atas penghakiman, maka hakim syar‘i itu hendaklah memerintahkan mereka difaraqkan dan dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya.

Mengikut peruntukan hukum syara‘, sekiranya yang menuduh (suami) enggan bersumpah, maka dia akan dikenakan hukuman qazaf dengan sebatan sebanyak 80 kali rotan. Manakala jika isteri yang dituduh pula tidak menolak tuduhan suaminya, maka dia akan dikenakan hukuman sebagaimana orang yang berzina kecuali kedua-dua mereka bersumpah dan melakukan li‘an.

Apabila kedua-duanya bersumpah dan melakukan li‘an, maka ikatan perkahwinan mereka suami isteri akan terputus sama sekali dan mereka diharamkan berkahwin semula buat selama-lamanya.

Ibnu ‘Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Suami isteri yang melakukan li‘an apabila mereka berdua berpisah, kedua-dua mereka tidak boleh berkumpul (berkahwin) untuk selama-lamanya.(Riwayat Daruqutni)


ILA’

Iaitu apabila seseorang suami bersumpah dengan nama Allah SWT atau dengan menyebut sifat Allah SWT untuk tidak bersetubuh dengan isterinya selama empat bulan atau lebih atau dengan tidak menyebut tempoh masa. Tujuannya untuk bagi isteri merana dan susah. Perbuatan ini haram kerana menyeksa jiwa manusia.

Firman Allah SWT yang maksudnya: “Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri mereka, diberikan tempoh untuk empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talaq (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah: 226-227)

Saidina Ali radiyaLlahu 'anhu berkata : Apabila seorang lelaki melakukan ila' terhadap isterinya, talaknya tidak jatuh walaupun telah berlalunya empat bulan selagi si suami belum memutuskan samada menceraikan isterinya atau dia menarik balik sumpahnya (iaitu dengan rujuk kepada isterinya dan menyelesaikan kafarahnya) (Riwayat Malik rahimahuLlah dalam al Muwatta' dalam kitab talak, bab ila' nombor 2/556. Hadis yang seumpama ini juga diriwayatkan daripada Ibnu Umar radiyaLlahu 'anhu.

Hukum Ila'

Jika suami bersumpah tidak akan bersetubuh dengan isterinya secara mutlak atau selama lebih daripada empat bulan, beliau telah melakukan ila' terhadap isterinya. Terdapat beberapa hukum syarak berkaitan dengan ila' tersebut :

Hakim hendaklah memberi peluang selama 4 bulan kepada suami bermula dari hari ia bersumpah. Ini akan memberi peluang kepada suami untuk menarik balik sumpahnya dan membayar kafarah sumpah atau menceraikan isterinya

Jika dia tidak mahu rujuk dan tidak mahu membayar kafarah sumpah, hingga tempoh 4 bulan tadi tamat, dan suami tetap dengan sumpahnya, maka ketika itu, hakim berhak mengambil salah satu tindakan berikut :


  1. Memaksa suami menarik balik sumpahnya dan kembali menyetubuhi isterinya serta membayar kafarah sumpah, jika dia bersumpah dengan nama Allah atau bersumpah dengan salah satu sifat Allah. Jika dia bersumpah untuk melakukan sesuatu atau bersedekah dengan sesuatu, dia hendaklah melakukannya.
  2. Memaksa suami menceraikan isterinya jika dia enggan menarik balik sumpahnya dan tetap berpegang dengan sumpahnya.

Sekiranya suami enggan melakukan salah satu daripada perkara di atas, maka hakim berhak menjatuhkan talaq satu bagi pihaknya. Itu adalah hak hakim untuk mengelakkan kemudaratan berlaku kepada orang lain dan tidak ada cara lain melainkan dengan hakim menjatuhkan menjatuhkan talak bagi pihaknya. Ketika itu hakim menggantikan tempat suami dalam menjatuhkan talak. Masalah ini sama dengan masalah membayar hutang dan menjelaskan hak-hak yang berbentuk harta.

Tindakan tersebut dilakukan jika suami tidak mempunyai keuzuran yang menghalangnya daripada melakukan persetubuhan. Jika suami mempunyai keuzuran seperti sakit atau sebagainya, dia hendaklah diminta menarik balik sumpahnya dengan lidahnya sendiri seperti ia berkata : "Jika aku mampu bersetubuh aku akan menarik balik pendirianku dan sumpahku"

KIFARAH SUMPAH

  1. Merdekakan seorang hamba yang mukmin, atau
  2. Memberi makan kepada 10 orang fakirmiskin sehingga kenyang, atau
  3. Memberi pakaian kepada 10 orang fakirmiskin, jika tidak mampu
  4. Berpuasa tiga hari.

Sila rujuk ayat 89 surah al maaidah yang bermaksud : ...maka kafaratnya ialah Memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, Atau memberi pakaian untuk mereka, Atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan tiga pilihan kafarat di atas), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah kafarat penebus sumpah kamu...

Setiap orang miskin (yang 10 orang tu) mesti diberikan secupak beras (3/4 cupak Malaysia). Mesti diserahkan kepada setiap orang fakir atau miskin. Tidak boleh bawa mereka belanja makan di kedai, juga tidak boleh ditukarkan kepada wang.


ZIHAR

Iaitu apabila seseorang suami itu menyamakan belakang isterinya dengan belakang ibunya (atau orang yang diharamkan berkahwin dengannya). 

Maksudnya menyamakan isteri dengan emaknya sendiri tentang haram disetubuhi (macam sudah cerai). 

Maka jika selepas dia berkata demikian tiba-tiba dia diam tidak diringi dengan talaq atau cerai dalam masa kira-kira sempat berbuat demikian, nescaya dinamakan Zihar.

Hal ini dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud: “Orang-orang yang ziharkan isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah) Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.” (al-Mujadalah: 2)


RUKUN ZIHAR

1.     Suami
2.     Isteri
3.     Perkara yang diserupakan
4.     Lafaz zihar

Untuk mensabitkan rukun ini, beberapa syarat berikut mesti difahami. Syarat yang disepakati oleh jumhur ulama :-

  1. Anggota-anggota yang haram dilihat oleh sesama mahram.

    • Contoh punggung, perut, kemaluan, tangan, kepala, kaki, rambut, dan  lain-lain . 

    • Demikian pandangan kebanyakan ulama, Ulama Hanbali dan Maliki mensabitkan seluruh anggota sama ada haram dilihat mahupun tidak, semuanya boleh mensabitkan zihar (Al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, 9/7173) Pandangan yang rajih adalah pandangan jumhur.
  2. Mestilah anggota-anggota ini daripada wanita yang diharamkan 
    berkahwin dengan si lelaki samaada tahrim secara berkekalan (muabbad) atau keturunan (nasab) atau susuan dan musoharah. Seperti Ibu, Anak, Adik beradik, Pak cik, Mak cik dan lain-lain yang berkaitan.

Inilah pandangan mazhab utama, juga pandangan Hasan al-Basri, Ato Abi Rabah, As-Syabi, An-Nakhaie, Al-Awzaie, at-Thawry, Ishak Rahawaih, Abu Ubaid, Abu Thaur.

Pandangan Imam Syafie dalam 'Qawl Qadim': Tidak jatuh zihar terhadap semua wanita kecuali ibu dan nenek sahaja kerana ayat berkenaan zihar itu ditujukan khas untuk ibu. Tetapi 'Qawl Jadid' Imam Syafie meminda ijtihadnya dengan mengatakan jatuh zihar kerana wanita yang diharamkan tadi menyerupai pengharaman ibu (al-Muhazzab, As-Syirazi dan al-Majmu, 19/45)

Manakala yang tidak muabbad seperti wanita asing, adik beradik perempuan bagi isteri dan lain-lain. Tidaklah penyerupaan dengan mereka dianggap zihar. (Lihat Al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arbaah 4/500; Ad-Dusuqi ala syarh al-Kabir 2/439; Ashal al-Madarik 2/169; Kifayatul akhyar 2/71)

Ulama Maliki menambah bahawa binatang juga termasuk dalam kategori yang tidak boleh disamakan. Kerana asalnya manusia tidak boleh berhubungan jenis dengan binatang.

Ulama Maliki juga mensabitkan zihar kiranya menyamakan rambut isteri dengan rambut ibu. Manakala jumhur tidak berpandangan sekian. (Ad-Dusuqi ala syah al-Kabir, 2/439)

Syarat yang diperselisihkan :- 

Mestilah diserupakan dengan anggota wanita.

  1. Kiranya ditasybihkan dengan lelaki seperti Belakang atau Punggung kamu seperti belakang atau punggung bapaku. Ulama Hanafi dan Syafie mengatakan TIDAK JATUH ZIHAR.
  2. Bagaimanapun Ulama Hanbali dan Maliki mengatakan JATUH ZIHAR DENGAN SYARAT MENYAMAKAN DENGAN ANGGOTA YANG TIDAK HALAL DILIHAT SEPERTI PERUT, PEHA, KEMALUAN, PUNGGUNG dan lain-lain yang seerti.
  3. Kiranya menyamakan dengan kepala bapa, rambut, hidung dan lain-lain, TIDAKLAH DIANGGAP ZIHAR (Lihat ashal al-Madarik 2/170; Juga al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arbaah, 4/499). Semua mazhab mempunyai dalil masing-masing.

Ulama Syafiiyyah mengatakan kiranya tasybih itu bukan pada bahagian haram dilihat tadi, ia bergantung kepada niat, kiranya ia berniat memuliakan, bangga maka tidaklah jatuh zihar, jika sebaliknya maka jatuh zihar. (Kifayatul akhyar, 2/70)

4.   Sighah (Lafaz Zihar)Syarat lafaz untuk untuk sabit zihar adalah :-

a. Perlu kepada niat, jika ianya dibuat secara Kinayah (tidak jelas).


  • Sighah Sorihah (terang, jelas) seperti: Punggung Dinda benar-benar seperti punggung bonda Kanda. Lafaz seperti di atas tidak perlu kepada niat, bahkan jatuh zihar apabila didengari.
  • Sighah Kinayah (tidak jelas) pula adalah lafaz-lafaz yang boleh diandaikan bermaksud zihar tapi mungkin juga tidak seperti: Dinda ni seperti bondaku. Lafaz seperti ini kemungkinan bermaksud zihar kemungkinan juga bermaksud memuliakan, hormat, penghargaan dan lain-lain. Maka ia bergantung kepada niat si suami.
Lafaz ini telah ijma di kalangan ulama tentang sabit zihar. Demikian menurut Ibn Munzir ( Lihat al-Majmu Imam Nawawi yang dilengkapkan oleh Syeikh Najib al-Mutie, 19/44)


b. Tidak disyaratkan untuk sabit zihar, mesti menggunakan lafaz yang
memberi pengertian semasa.


  • Zihar jatuh dengan lafaz yang membawa pengertian semasa seperti : Punggung Dinda benar-benar seperti punggung bonda Kanda
  • Juga jatuh kiranya diikat dengan waktu tertentu seperti : Kiranya dinda masuk ke rumah itu maka Perut Dinda seperti perut bondaku
  • Jatuh zihar juga kiranya disandarkan ke zaman akan datang seperti :  Awal tahun depan Punggung Dinda mesti macam seperti bonda kanda atau Kanda yakin perut Dinda memboyot seperti perut bonda Kanda dalam masa sebulan.     

Semua lafaz tadi cukup untuk menjatuhkan hukum zihar. (Rujuk Al-Bidayah al-Mujtahid 2/117; Matolib Uli An-Nuha 5/507 )
  

c. Mestilah lafaz tadi disandarkan kepada anggota tubuh wanita samada secara juzu atau sepenuhnya. (Bahagian yang diharamkan lihat tadi tanpa boleh di ihtimal lagi). ( Lihat BadaI as-Sanai , 5/2129 )


HUKUM SETELAH JATUH ZIHAR

Setelah cukup syarat dan sabit jatuh zihar maka beberapa hukum berikut sabit


1.    Haram menyetubuhi isterinya (yang diziharkan) kecuali setelah dibayar Kifarah. Ini adalah pandangan jumhur. Menurut tertibnya KIFARAH ZIHAR adalah

  1. Membebaskan seorang hamba yang mukmin, jika tak mampu..
  2. Puasa 2 bulan berturut-turut, jika tak mampu..
  3. Memberikan makanan yang mengenyangkan kepada 60 orang fakir atau miskin, setiap orang 1 cupak makanan,..
  4. jika tak mampu juga makan tetaplah kifarah itu tertanggung keatas dirinya, bila ada kemampuan wajiblah dia sempurnakan seberapa yang terupaya.
       Dalilnya adalah daripada Firman Allah SWT surah al-Mujadalah ayat 58.

2.    Tidak dibenarkan  istimta (bersedap-sedap, berseronok-seronok), 
sentuh dengan syahwat sebelum membayar kifarah juga tidak dibenarkan (Tahrim Wasail) di sisi ulama Hanafi dan Maliki ( BadaI as-SanaI, 5/2132; Ashal al-Madarik 2/170) Tetapi ianya harus di sisi ulama Syafie (Lihat Rawdah at-Tolibin 8/270; Fath al-Jawad 2/187; Ianah at-Tolibin 4/37)


Pandangan yang rajih adalah tidak dibenarkan dengan tahrim wasail, kerana dibimbangi akan tergelincir ke persetubuhan. Pandangan lebih selamat bagi fatwa untuk orang awam. Kiranya sangat yakin tidak akan tergelincir dan tidak dapat menahan kesabaran hingga dibimbangi memudaratkan, maka ketika itu ia menjadi rukhshoh.

Kesimpulan Jawapan Terhadap Soalan (Mengambil Pandangan yang Rajih)


  1. Hanya jatuh (sabit) Zihar sekiranya menyamakan isteri dengan ibu,
    1. nenek, anak dan semua wanita yang diharamkan suami berkahwin 
    dengannya secara kekal sama ada secara Keturunan, Susuan mahupun Musoharah.
  2. Penyamaan anggota tertentu sahaja yang menyebabkan sabit zihar iaitu Seluruh atau juzuk dari anggota yang haram dilihat semasa mahram. Penyamaan dengan anggota selain itu tidaklah sabit zihar. 
  3. Tidak sabit zihar, kiranya menyamakan anggota isteri dengan mana-mana lelaki. Hanya penyamaan dengan wanita sahaja sabit. Begitu juga menyamakan suara, rupa dan sebagainya.
  4. Istimta dengan isteri yang telah dizihar sebelum membayar kifarah adalah tidak dibenarkan dengan tahrim wasail. Dibimbangi akan terlanjur. 

JUSTERU, MENYAMAKAN RUPA, HIDUNG ISTERI DENGAN RUPA DAN HIDUNG ANAK TIDAKLAH JATUH ZIHAR,

BAGIAMANAPUN MENYAMAKAN PUNGGUNG ISTERI DENGAN PUNGGUNG ANAK PEREMPUANNYA, SABIT JATUH ZIHAR. Walaupun si suami tidak berniat.

Masalah Kejahilan tentang hukum ini,mempunyai perbincangan yang lain yang agak panjang, 



KESIMPULANNYA : Menjadi kewajiban suami isteri sebelum berkahwin mengetahui hal yang berkaitan dengan hubungan suami isteri. Wallahu alam.