HUKUM KORBAN



Hukum Ibadah Korban
1. Sunat Muaakad
Hukum melaksanakan ibadah korban ialah Sunat Muaakad (Sunat yang
amat dituntut) bagi mereka yang mengerjakan Haji ataupun tidak mengerjakan haji.
Sunat Muaakad bermaksud, jika dilaksanakan mendapat pahala, manakala jika meninggalkannya tidak berdosa. Inilah pendapat majoriti ulama salaf.
Menurut mazhab Imam Syafie dihukumkan Sunat Muaakad adalah sebagai ibadat tambahan yang selalu dikerjakan oleh Rasulullah SAW pada masa hayatnya. Baginda Rasulullah SAW diriwayatkan pernah berkorban 2 ekor biri-biri besar bagi diri, keluarga dan seluruh umatnya yang tidak sempat atau tidak mampu berkorban.
2. Wajib
Dihukumkan Wajib bagi mereka yang berwasiat atau bernazar untuk
melaksanakan ibadah korban, samaada nazar dengan lafaz yang jelas seperti katanya : Jika aku dapat ‘itu ini’ maka wajib bagiku untuk berkorban tahun ini kerana Allah atau katanya dengan lafaz seakan nazar : Lembu ini aku nak korbankan.
Dihukumkan Wajib juga adalah berdasarkan pendapat pengkaji hadis berikut. Dari Jundab bin Abdullah Al-Bajali, ia berkata : Pada hari raya korban, aku menyaksikan Nabi SAW bersabda :

" Siapa yang menyembelih sebelum melaksanakan solat maka hendaklah ia mengulang dengan haiwan lain, dan siapa yang belum menyembelih korban maka sembelihlah"
[Hadis riwayat Bukhari (5562), Muslim (1960), An-Nasa'i (7/224), Ibnu Majah (3152), Ath-Thayalisi (936) dan Ahmad (4/312,3131)]

Perintah secara zahir menunjukkan Wajib. wallahu’alam
3. Wajib tetapi tidak Fardhu
Imam Abu Hanifah berpendapat korban dihukumkan Wajib tetapi tidak Fardhu sesuai dengan metodologi yang dipakai dalam mazhabnya, iaitu bahawa tuntutan Wajib lebih ringan berbanding tuntutan Fardhu.
Imam Abu Hanifah mengambil faham kaedah itu daripada hadis dari Abu Hurairah katanya Rasulullah SAW bersabda :

"Siapa yang berkemampuan (harta) tapi ia tidak menyembelih korban maka jangan sekali-kali ia mendekati masjid kami"
[Hadis Riwayat Imam Ahmad (1/321), Ibnu Majah (3123), Ad-Daruquthni (4/277), Al-Hakim (2/349) dan (4/231) dan sanadnya hasan]
Mengikut Mazhab Imam Abu Hanifah ianya dihukumkan WAJIB, bermakna
sesiapa yang meninggalkannya dikira berdosa terutama bagi mereka yang berkemampuan.
4. Wajib bagi yang mampu
Imam An-Nawawi mengatakan : Para ulama berbeza pendapat tentang kewajiban melaksanakan ibadah korban atas orang yang mampu.
“Sebahagian besar ulama berpendapat bahawa melaksanakan ibadah korban itu sunnah bagi orang yang mampu, jika tidak melakukannya tanpa uzur, maka ia tidak berdosa dan tidak juga harus mengqadakannya. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa korban itu wajib atas orang yang mampu.”
[Sahih Muslim bi Syarh An-Nawawi (XIII/110) dan lihat dalil dua pendapat ini dan perdebatannya dalam Fathul Baari (X/3), Bidaayatul Mujtahid (I/448), Mughniyul Mubtaaj (IV/282) Majmu Al-Fatawaa (XXVI/304), Al-Mughni dan Syarhhul Kabiir (XI/94) dan Al-Mughni (VIII/617). Rujukan lain, lihat kitab Ahkaamul Iidain wa Asyri Dzil Hijjah, Edisi Indonesia Lebaran Menurut Sunnah Yang Shahih, Penerbit Pustaka Ibnu Katsir]
5. Sunat
Kebanyakkan ulama berpendapat bahawa hukum ibadah korban ialah Sunat jua, iaitu seseorang itu tidak dianggap berdosa besar sekalipun seumur hidupnya dia tidak pernah berkorban. Jika anda tidak berkorban kerana tidak mampu anggaplah bahawa Nabi SAW telah berkorban bagi pihak anda.
Wallahu’alam.
Ibnu Hazm berkata, “Korban hukumnya sunnah hasanah, tidak wajib. Barangsiapa meninggalkannya tanpa kebencian terhadapnya, maka tidaklah berdosa.
[Al-Muhalla (VIII/3)]
Sandaran hadis lain yang menunjukkan penyembelihan haiwan korban hukumnya sunat adalah sabda Nabi SAW :

" Apabila masuk sepuluh hari (1-10 Zulhijjah), lalu salah seorang dari kalian ingin menyembelih korban maka janganlah ia menyentuh sedikitpun dari rambutnya dan tidak pula kulitnya"
[Hadis riwayatkan Muslim (1977), Abu Daud (2791), An-Nasa'i (7/211dan 212), Al-Baghawi (1127), Ibnu Majah (3149), Al-Baihaqi (9/266), Ahmad (6/289) dan (6/301 dan 311), Al-Hakim (4/220) dan Ath-Thahawi dalam "Syarhu Ma'anil Atsar" (4/181) dan jalan-jalan Ummu Salamah Radhiyallahu 'anha]

"Hadis ini menunjukkan bahawa menyembelih haiwan korban tidak wajib, Kerana Nabi SAW menyebut : "Jika salah seorang dari kalian ingin menyembelih korban ...." , seandainya dihukumkan Wajib tentunya baginda tidak menyandarkan hal itu pada keinginan (iradah) seseorang". [Rujuk Kitab "Al-majmu" 98/302) dan Mughni Al-Muhtaj" (4/282) 'Syarhus Sunnah" (4/348) dan "Al-Muhalla" 98/3)]
6. Wajib berasaskan amalan Penyembelihan ‘Atirah

Mikhnaf bin Sulaim menyatakan bahawa ia pernah menyaksikan Nabi SAW berkhutbah pada hari Arafah, baginda bersabda :

"Bagi setiap keluarga Wajib untuk menyembelih 'Atirah setiap tahun. Tahukah kalian apa itu 'Atirah ? Inilah yang biasa dikatakan orang dengan nama Rajabiyah"
[Hadis riwayat Imam Ahmad (4/215), Ibnu Majah (3125) Abu Daud (2788) Al-Baghawi (1128), At-Tirmizi (1518), An-Nasa'i (7/167) dan dalam sanadnya ada rawi bernama Abu Ramlah, dia majhul (tidak dikenal). Hadis ini memiliki jalan lain yang diriwayatkan Imam Ahmad (5/76) namun sanadnya lemah. At Tirmizi menghasankan hadis ini dalam "Sunannya" dan dikuatkan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari (10/4), Lihat Al-Ishabah (9/151)]
Berkata Abu Ubaid dalam "Gharibul Hadis" : ‘Atirah adalah sembelihan yang dilakukan di bulan Rejab oleh masyarakat jahiliyah bagi mendekatkan diri kepada Allah, setelah kedatangan agama Islam, amalan itu tidak dipedulikan.
[Rujuk kitab "Gharibul Hadis" (1/195)]
Perintah dalam hadis diatas menunjukkan hukum Wajib. Walaupun amalan ‘Atirah tidak lagi diamalkan setelah kedatangan Islam, namun hukum Kewajibannya tidak mengharuskan penghapusan kewajiban ibadah korban, bahkan hukumnya tetap sebagaimana asalnya

Berkata Ibnu Atsir :
Hukum penyembelihan 'Atirah telah dimansuhkan, ‘Atirah hanya dilakukan pada awal Islam.
[Rujuk Kitab Jami ul-ushul (3/317) dan lihat 'Al-Adilah Al-Muthmainah ala Tsubutin naskh fii Kitab was Sunnah (103-105) dan "Al-Mughni" (8/650-651)]